200 individu beragama Islam ditahan minum arak di kelab malam di Lebuh Chulia, Pulau Pinang awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang antara 200 individu beragama Islam yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di sebuah kelab malam di Lebuh Chulia di sini, awal pagi tadi.

Operasi Bersepadu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD) itu dilakukan bermula jam 1.30 pagi.

Kesemua mereka ditahan selain diberikan kaunseling.

Difahamkan, ketika serbuan kesemua mereka dikatakan sedang leka berhibur dalam kelab malam tersebut bersama minuman beralkohol masing-masing.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd Azizon Noordin berkata, 200 individu yang ditahan itu berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun.

Mohd Azizon.

“Fokus operasi kali ini membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu meminum minuman yang memabukan.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk ujian saringan mengikut Seksyen 19 itu,” katanya di lokasi serbuan hari ini.

Turut dirampas minuman arak yang diminum individu beragama Islam terbabit.

Antara barang yang dirampas dalam operasi tersebut.

Tambah beliau, kesemua mereka yang ditahan juga diberikan kaunseling. – MalaysiaGazette