Keadaan kereta Toyota Vios milik mangsa dengan kesan kebakaran disyaki perbuatan dendam adik kandung berkaitan isu harta keluarga dalam kejadian pada 14 Oktober lalu di Taman Watan Ampang.Ihsan Foto: IPD Ampang

AMPANG – Seorang pemandu lori dicekup polis selepas disyaki membakar kereta abang kandungnya disebabkan dendam harta keluarga.

Insiden khianat itu berlaku pada kelmarin di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Watan, Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada Jumaat jam lebih kurang 6.19 petang Pusat Kawalan IPD Ampang telah menerima panggilan Mers 999 daripada pihak bomba yang memaklumkan berlaku kebakaran kereta taman perumahan itu.

“Bertindak atas maklumat sepasukan polis telah digegaskan ke lokasi kejadian dan siasatan di tempat itu mendapati kesan kebakaran pada sebuah kereta jenis Toyota Vios di bahagian sebelah kiri dan kanan badan serta di bahagian enjin.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai satu tong berwarna biru disyaki berkesan minyak dipercayai digunakan oleh suspek sewaktu kejadian.

“Siasatan juga mendapati kereta berkenaan milik mangsa lelaki tempatan berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa mengalami anggaran kerugian berjumlah RM5,000 dalam insiden itu.

Menurutnya, bertindak atas laporan pengadu dan juga maklumat, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan di Lorong Ikan Emas 14, Ampang Campuran di sini pada Sabtu jam lebih kurang 5.40 petang.

“Suspek merupakan seorang pemandu lori berusia 32 tahun dan siasatan lanjut mendapati dia adalah adik kandung kepada mangsa.

“Siasatan mendapati punca kejadian adalah suspek berselisih faham dengan mangsa yang merupakan abang kandungnya dan berdendam berkenaan isu harta keluarga mereka.

“Semakan lanjut polis mendapati suspek memiliki tiga rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah.

“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dan kini direman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 10 Oktober ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana Khianat dengan Api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.,” tegasnya. – MalaysiaGazette