Sultan Nazrin Shah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH – Benarkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan bubar bagi membolehkan rakyat negeri itu mengundi serentak pada Pilihan Raya Umum ke-15?

MalaysiaGazette melalui sumber dimaklumkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikhabarkan tidak akan memperkenankan pembubaran berikutan beberapa isu.

Kata sumber itu, antara sebabnya ialah kerana negeri ini belum meluluskan akta anti-lompat parti bagi mengelak berulangnya pengkhianatan.

“Rasanya DUN Perak tidak akan bubar serentak dengan PRU-15. DYMM dikhabarkan enggan perkenan berikutan akta anti lompat selain juga bimbang dengan keadaan iklim tidak menentu ketika ini, banjir antaranya.

“Rakyat di negeri ini antara yang menderita ketika musim banjir seperti yang terjadi tahun lalu. Mengadakan pilihan raya pada masa ini agak tidak bijak.

“Tetapi seandainya Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mahu, beliau boleh memanggil satu sidang DUN tergempar untuk membentangkan dan meluluskan akta anti-lompat dalam tempoh sehari sebelum membubarkan DUN,” katanya hari ini.

Untuk makluman kerajaan negeri Perak sebelum ini pernah dijatuhkan dua kali dalam tempoh 11 tahun selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti, kali pertama pada 2009 kemudian pada 2020.

Beberapa hari lepas, Saarani berkata, Sultan Perak belum memberi perkenan untuk pembubaran DUN Perak dibubarkan.

Katanya, sebarang ketetapan mengenai permohonan untuk pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas baginda berkenan untuk membuat keputusan.

Dua hari lepas, Pahang dan Perlis merupakan dua negeri terawal  yang  membubarkan DUN masing-masing selepas pembubaran Parlimen ke-14, Isnin  lepas.

Pembubaran kedua-dua DUN berkenaan bagi penggal ke-14 itu berkuat kuasa bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan peringkat Parlimen pada PRU nanti. -MalaysiaGazette