KUALA LUMPUR – Penampilan sulung Team Haq dalam kejohanan MPL Malaysia musim ke-10 cukup mengujakan apabila berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia tahun depan.
Jatuh ke ‘lower bracket’ selepas tewas kepada Orange Esports di peringkat separuh akhir ‘upper bracket’, usaha keras dilakukan Team Haq untuk mara ke perlawanan akhir di ‘lower bracket’.
Sekali lagi bertemu pasukan Orange, Team Haq turut dengan permainan kemas dan segalanya membuahkan hasil apabila berjaya merakam kemenangan 3-1 untuk mara ke peringkat Grand Final dan akan bertemu juara bertahan, TODAK.
Paling mengujakan semestinya tiket untuk ke Kejohanan MLBB Dunia M4 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia Januari tahun depan.
“Alhamdulillah di atas rezeki daripada Allah yang memberi peluang untuk Team Haq layak ke M4, M4 sudah pasti menjadi sasaran kami daripada awal lagi jadi kami sangat berpuas hati apabila dapat layak.
“Strategi pasukan sudah semestinya untuk membuat seperti yang telah dirancang dari sesi latihan lagi, kelebihan itu tidak kerana kami pasti pasukan Orange pun tahu serba sebanyak tentang permainan kami.
“Harapan kami supaya dapat membanggakan negara Malaysia dan sudah pasti sasaran kami untuk pergi sejauh mungkin,” kata Muhammad Aimanulhaq Zaharudin, pemilik Team Haq.
Team Haq mengiringi pasukan TODAK ke M4 selepas kedua-dua pasukan mara ke Grand Final MPL Malaysia.
TODAK mara selepas memenangi perlawanan akhir ‘upper bracket’ juga dengan menundukkan pasukan Orange Esports menerusi kemenangan 3-1.
Kejohanan Dunia MLBB M4 dijadualkan berlangsung bermula 1 hingga 15 Januari tahun depan dengan Istora Senayan di Jakarta bakal menjadi venue pertarungan 16 pasukan terbaik seluruh dunia.