Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Seorang wanita kerugian RM1.4 juta selepas terjerat dalam love scam warga Nigeria yang menyamar sebagai seorang jurutera yang bekerja di New Zealand.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada April 2022, pengadu seorang wanita warga tempatan berumur 54 tahun telah berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui Facebook.

Katanya, daripada perkenalan itu suspek meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp dengan menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Sepanjang tempoh perkenalan tersebut mangsa mengesahkan tidak pernah berjumpa dengan suspek dan mangsa telah diyakinkan oleh suspek bahawa beliau bekerja sebagai seorang jurutera di New Zealand.

“Pada April hingga bulan Oktober tahun ini suspek telah meminta mangsa untuk mendahulukan wangnya bagi membeli bahan mentah bagi projek yang dijalankan.

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah memasukkan wang ke dalam empat akaun yang berbeza sebanyak 37 transaksi membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM 1,445,900,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati mangsa telah menerima panggilan dari syarikat penghantar barang, Global International Diplomatic Services, yang menyatakan terdapat barang milik mangsa dikirimkan suspek.

Menurut Mohamad Fakhrudin, pada 8 September lalu, dua suspek telah berjumpa dengan mangsa dengan membawa beg berisi wang sebanyak AS$4,200,000 (RM19.798 juta) untuk diserahkan kepada mangsa tetapi dengan syarat mangsa perlu mempunyai sijil pemilikan (ownership certificate) dan sijil asal (origin certificate).

“Jika tidak, suspek mendakwa mangsa perlu membayar yuran simpanan sebanyak RM170,000 tetapi mangsa menolak syarat itu kerana telah tiada wang dan mula menyedari ditipu selepas suspek meminta wang tambahan lagi bagi menampung pembelian bahan mentah bagi projek yang tidak diketahui oleh mangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menyerbu sebuah restoran di OUG Parklane, di sini, dan menahan tiga lelaki warga Afrika berusia antara 35 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam kes penipaun ‘Love Scam’ itu.

Katanya, soal siasat mendapati ketiga-tiga suspek memasuki Malaysia pada 2019 dengan menggunakan Pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Jelasnya, kesemua suspek kini direman empat hari dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette