GEORGE TOWN – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada 4 November ini.
Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, persidangan itu tertakluk kepada tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis ini.
“Saya akan bentangkan cadangan kepada Mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk meneruskan sidang DUN pada 4 November ini susulan segala notis mengenai persidangan itu telahpun dikeluarkan.
“Kita cadangkan supaya sidang DUN diteruskan sehingga selesai sesi soal jawab dan ditangguhkan selepas hari pembuangan undi dan tarikh sambungan persidangan akan ditetapkan mengikut tarikh yang diumumkan oleh SPR.
“Hal ini supaya kakitangan dari agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam persiapan PRU15 dapat memfokuskan kelangsungan pilihanraya itu tanpa dibebani dengan tugasan di DUN,” katanya pada sidang media di Komtar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kon Yeow meluahkan rasa terkilan atas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir semalam.
“Saya fikir ia merupakan kenyataan yang sombong dan tidak sensitif terhadap sebarang kemungkinan rakyat terpaksa hadapi sekiranya berlaku bencana banjir.
“Hal ini tidak perlu diungkitkan lagi kerana pembubaran Parlimen sudah menjadi kenyataan, dan seperti yang saya kata kita akan fokus kepada pertarungan untuk kerusi-kerusi di kawasan Parlimen,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Perikatan Harapan (PH) menjadikan alasan banjir untuk membohongi rakyat, Kon Yeow menjelaskan, amaran mengenai berlakunya banjir dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan bukan pembangkang. – MalaysiaGazette