SINTOK – Isu tempat tinggal pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang membabitlan lebih 17,000 orang di Inapan Siswa (Inasis) selesai sebelum kuliah bermula pada minggu ini.
UUM berkata, urusan penginapan pelajar lama iaitu semester kedua dan berikutnya dibuat sebaik sahaja pendaftaran dan penempatan pelajar baharu berjumlah 4,106 selesai mendaftar di Inasis pada 11 Oktober lalu.
“Dengan memberi penempatan kepada semua pelajar termasuk penuntut semester kelapan dan berikutnya atau dengan kata lain lebih dari empat tahun dari tempoh biasa pengajian, menunjukkan UUM amat prihatin dan cakna dengan kebajikan dan keselamatan pelajar universiti,” katanya dalam kenyataan di sini.
Untuk rekod, UUM mempunyai 15 kolej kediaman yang juga menyediakan kemudahan penginapan tambahan di kawasan perumahan sisiran Naib Canselor UUM, perumahan sisiran Sintok UUM, perumahan Taman Universiti UUM dan rumah-rumah universiti yang ada dalam kampus.
UUM juga menyediakan penempatan kepada 500 pelajar rayuan yang mula mendaftar pada 1 November nanti.
Secara keseluruhannya semua pelajar yang memohon penginapan seramai 17,708 telah mendapat tempat tinggal.
UUM berkata, pengurusan universiti itu sentiasa memastikan keperluan pelajar dapat dipenuhi. – MalaysiaGazette