Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan sebahagian ahli PKMM yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-43 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Persoalan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama atau tidak dengan Pas bagi mewujudkan kerajaan majoriti hanya boleh ditentukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Itu jawapan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita tunggu dulu keputusan. Saya tak mahu buat andaian terlalu awal. Yang pentingnya kita nak kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui merasmikan Konvensyen Kontraktor Bumiputera 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-43 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Mengenai pembahagian kerusi komponen BN, semua itu dalam proses dan akan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita tak ada masalah bahagi kerusi sebab kita ada bilangan komponen yang sedikit iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

“Ini lebih mudah untuk kita berbincang dan selesai pembahagian kerusi, kita akan nilai calon pula.

“Sekarang pembahagian dan penilaian calon dalam proses. Kita sudah dapat semua senarai calon dari UMNO negeri dan top five akan semak serta bincang,” katanya lagi.

Beliau juga turut mengesahkan, 70 peratus calon adalah muka baharu sebagaimana dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengenai usul mesyuarat bahagian yang mencalonkannya sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang, Ismail Sabri berkata, setiap bahagian bebas mencadangkan usul masing-masing.

Katanya, beliau dimaklumkan 152 Bahagian UMNO membuat usul itu, tetapi pada dasarnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan memutuskannya.

Selain itu, Ismail Sabri juga mengulangi kenyataan yang
Bajet 2023 akan dibentangkan semula sekiranya BN mendapat kerusi majoriti dan membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Beliau berkata, kewangan bagi bajet itu sudah ada dan hanya menunggu pelaksanaan sahaja.

“Bajet 2023 yang kita bentang hari itu akan dibentangkan semula dan ia akan dilaksanakan kalau kita jadi kerajaan.

“Kewangan sudah disediakan daripada bajet yang kita umum hari itu. Bila kita bentangkan bajet, maknanya duit sudah ada. Cuma tunggu kelulusan dan pelaksanaan sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette