Home Utama Ketua jabatan agensi kerajaan bergelar Datuk ditahan kes rasuah

Ketua jabatan agensi kerajaan bergelar Datuk ditahan kes rasuah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang ketua jabatan agensi kerajaan bergelar Datuk kerana dipercayai menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasanya.

Suspek didakwa melakukan perbuatan itu berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat buah kenderaan pada 2017.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.

Katanya, perolehan empat buah kenderaan yang dibuat pada 2017 itu berjumlah lebih RM290,000 bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.

Seorang Ketua Jabatan dalam kerajaan bergelar datuk direman SPRM bantu siasatan kes rasuah di Mahkamahg Majistret Putrajaya pagi tadi. Kredit SPRM Putrajaya

Susulan itu, suspek pagi tadi telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Putrajaya dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan penjawat awam itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast