logo PN
Adakah parti-parti di bawah PN akan menggunakan logo masing-masing pada PRU15?

PERIKATAN Nasional (PN) masih belum mencapai kata sepakat berhubung logo yang akan digunakan oleh calon-calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 2 Julai lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sudah bersetuju untuk menggunakan logo PN. Gerakan juga tiada masalah dengan perkara itu.

Malangnya, persetujuan yang dicapai itu berubah pula ketika PRU15 semakin hampir. Pas mahu menggunakan logo bulan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, bukannya logo PN.

Tidak pasti punca sebenar Pas mengambil pendirian itu. Mungkin ahli-ahli dan penyokong mereka di tiga negeri terbabit belum cukup serasi dengan logo PN yang warnanya dikatakan hampir menyerupai warna logo Barisan Nasional (BN).

Sepatutnya masalah itu tidak timbul kerana PN bukanlah gabungan yang baharu ditubuhkan dan rakyat telah melihat logonya di merata-rata tempat. Logo PN telah pun digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Mungkin juga prestasi buruk PN dalam kedua-dua PRN itu mendorong Pas memilih untuk menggunakan lambang bulan di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu-kubu kuatnya.

Pada masa yang sama, Gerakan Pulau Pinang ingin menggunakan logo sendiri di negeri itu. Parti itu juga enggan menggunakan logo Pas malah menegaskan, mereka lebih rela tidak bertanding di Kedah, Kelantan dan Terengganu daripada berbuat demikian.

Alasan yang diberikan adalah ramai penyokongnya masih keliru dan ingat Gerakan masih lagi sebahagian daripada BN. Walhal, parti itu keluar dari BN setelah kalah di semua kerusi yang ditandingi pada PRU14.

Sekali pandang isu logo kelihatan seperti remeh-temeh. Namun, jika diperhatikan secara mendalam, ia seolah-olah menggambarkan semangat permuafakatan dalam PN masih rapuh.

Selain itu, parti-parti lain iaitu Gerakan dan Pas seperti tidak berkongsi pendirian serupa dengan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dalam soal logo. Muhyiddin sudah katakan awal-awal mereka akan menggunakan satu logo sahaja tetapi bila PRU15 semakin hampir, lain pula ceritanya.

Jika Muhyiddin tunduk kepada kehendak sekutu-sekutunya yang ingin menggunakan logo masing-masing di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, PN akan dilihat sebagai sebuah gabungan politik yang cacamarba.

Situasi itu sangat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang konsisten menggunakan satu logo sahaja dalam setiap pilihan raya yang disertai sekaligus menggambarkan semangat kebersamaan dan toleransi parti-parti komponennya.

Kalau isu logo pun susah PN hendak capai kata sepakat, bagaimana pula dengan isu-isu lain yang lebih besar dan rumit jika mereka diberi peluang mentadbir negara sekali lagi dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast