Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar menyertai ‘kelab kluster mahkamah’ atau menjadi banduan sekiranya siasatan skandal mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) diteruskan.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, laporan polis berhubung skandal yang berlaku ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dan Anwar sebagai Menteri Kewangan juga telah ditarik balik.

Menurut beliau, skandal melibatkan kerugian kira-kira RM32 bilion pada awal 1990-an itu atau bersamaan dengan nilai sekitar RM200 bilion sekarang adalah satu kejadian yang sangat besar.

“Jumlah kehilangan masa itu melibatkan hampir semua rizab asing Malaysia dan adalah bersamaan dengan nilai 25 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada masa itu.

“Kehilangan dana asing begitu besar masa itu sehingga negara kurang dana asing untuk mempertahankan nilai ringgit juga antara penyumbang utama kepada krisis ekonomi Asia tahun 1997 hingga 1998 yang melanda negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, walaupun impaknya begitu besar, tiada satu sen pun daripada kehilangan dana tersebut dipulangkan dan tiada siapa pernah didakwa atau pernah bertanggung jawab.

Beliau menambah, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi skandal tersebut bertarikh November 2017 mengesyorkan Dr. Mahathir dan Anwar disiasat atas kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan di bawah seksyen 31(a) Ordinan Bank Pusat 1958 serta Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.

“Mereka juga disyaki telah menyorokkan maklumat sebab kehilangan dana begitu besar tidak disebut dalam laporan tahunan BNM pada tahun 1992, 1993 dan 1994 serta tidak dimaklum kepada Dewan Rakyat ketika itu.

“Tetapi selepas Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan PH telah menarik balik laporan polis seperti dalam syor RCI dan telah mengklasifikasi kes ini sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA),” katanya. – MalaysiaGazette