Antara produk 'tiada minyak sawit' di pasar raya di negara ini.

KUALA LUMPUR – Pasar raya dan kedai yang mempamerkan dan menjual produk bertanda ‘Tiada Minyak Sawit’ pada label dan pembungkusan perlu bersedia untuk dikenakan denda yang tinggi.

Ini kerana, Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) menyatakan penggunaan label dengan maklumat yang mendiskriminasikan minyak sawit adalah dilarang dan hukuman akan dikenakan kepada individu yang melanggar undang-undang tersebut, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Label mendiskriminasikan minyak sawit itu terdapat pada makanan, penjagaan diri dan produk isi rumah.

Menurutnya, produk yang memerlukan penggunaan lemak dan minyak, terutamanya minyak sayuran, adalah produk yang paling banyak ditemui dengan label sedemikian.

Walau bagaimanapun, terdapat juga produk yang tidak memerlukan penggunaan minyak sayuran atau lemak tetapi juga diletakkan label tersebut.

MPOC berkata, tinjauan untuk mengenal pasti produk-produk yang mempunyai label diskriminasi terhadap minyak sawit di pasaran Malaysia yang dibuat pada tahun lalu mendapati daripada 251 pasar raya dan kedai yang ditinjau di Lembah Klang, 80 daripada didapati menjual produk dengan label ‘Tanpa Minyak Sawit’.

Daripada tinjauan yang dijalankan, 37 jenama didapati menyokong gerakan anti-minyak, yang mana 204 variasi produk daripada 12 kategori produk mengandungi label sedemikian.

Daripada 204 variasi produk, 23 pengimport dan pengedar telah dikenal pasti.

Menurut tinjauan tersebut, kebanyakan syarikat menyedari taktik pemasaran anti-minyak sawit daripada jenama tersebut; tetapi terus mengimportnya untuk memenuhi permintaan demografi tertentu.

Kebanyakan pasar raya dan kedai yang menjual produk-produk tersebut terletak di Petaling Jaya, Subang Jaya, pusat bandar Kuala Lumpur dan Cyberjaya.

Bagaimanapun, kajian juga mendapati beberapa syarikat menyedari sensitiviti pelabelan diskriminasi dan telah berhenti mengimport produk dengan label itu ke Malaysia.

MPOC berkata, di bawah peraturan baharu Akta Perihal Dagangan 2011, yang berkuat kuasa pada Mac 2022, penggunaan label diskriminasi terhadap minyak sawit adalah dilarang dan penalti sebanyak RM 250,000 dan atau penjara lima tahun akan dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang tersebut.

Penggunaan label ini juga dilarang di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta Makanan 1983, Peraturan 18, yang menyatakan bahawa tiada label yang menerangkan apa-apa makanan boleh termasuk apa-apa tuntutan – yang boleh menimbulkan keraguan tentang keselamatan makanan yang serupa atau menimbulkan atau mengeksploitasikan rasa takut pada pengguna.

Mengulas mengenai pelabelan ‘Tiada Minyak Sawit’, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, WanAishah Wan Hamid berkata, adalah penting untuk menjalankan inisiatif pendidikan bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu pelabelan dan sentimen anti-minyak sawit.

”Sehubungan itu, kita harus meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kemampanan dan mempromosikan minyak sawit mampan, bermula dengan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kita sendiri. Industri minyak sawit Malaysia merupakan penyumbang besar kepada ekonomi kita,” katanya.

Jelas beliau, penyebaran konotasi negatif terhadap komoditi itu secara langsung akan menjejaskan mata pencarian dan sumber rezeki mereka yang terlibat di dalam industri ini secara langsung dan cara terbaik ke hadapan adalah untuk menegakkan perdagangan yang adil dan amalan mampan.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast