Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib melawat ke ruang pameran ketika Majlis Penutup Malaysia Urban Forum 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Penduduk bandar dijangka akan meningkat kepada 84 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini menjelang tahun 2040.

Justeru itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, agenda perbandaran dan perubahan iklim tidak boleh dipisahkan.

Katanya, dalam masa yang sama bandar perlu mengambil tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim.

“Strategi mitigasi serta tindakan adaptasi memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan diterapkan dalam pelan perancangan dan pembangunan bandar yang bukan sahaja dapat mengatasi isu tempatan tetapi juga menyumbang kepada komitmen Malaysia untuk mencapai Net-Zero green-house gas menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada majlis Penutupan Malaysia Urban Forum (MUF) 2022, di sini, semalam.

Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Eksekutif Urbanice, Norliza Hashim dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Sehubungan itu Reezal berharap agar bandar-bandar dalam negara akan mengukuhkan tindakan pembangunan bandar mampan dan dijajarkan dengan agenda tindakan iklim tempatan.

Beliau berkata, KPKT melalui Urbanice Malaysia telah membangunkan Malaysia SDG Cities iaitu program untuk menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan Pelan Tindakan dan Halatuju Kemampanan Bandar.

Katanya, sehingga kini tiga buah bandar telah selesai menyediakan pelan, termasuk Shah Alam manakala lapan buah bandar lagi masih dalam peringkat penyediaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib melawat ke ruang pameran ketika Majlis Penutup Malaysia Urban Forum 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 18 OKTOBER 2022.

“Dan sasarannya adalah untuk memastikan semua PBT di Malaysia menyediakan laporan ini menjelang 2030,” tambah beliau.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, sambutan baik yang diterima sepanjang MUF 2022 bersidang selama tiga hari telah mencapai objektifnya.

Tambahnya, cadangan-cadangan yang disuarakan oleh pelbagai peringkat yang selaras dengan dasar KPKT tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan diteliti.

Antara cadangan yang dikemukakan daripada persidangan berkenaan adalah memastikan perancangan dan pembangunan bandar lebih responsif gender.

“Selain itu menyediakan ruang selamat bagi golongan belia di bandar; mementingkan kesihatan dalam perbandaran agar menghasilkan komuniti yang produktif dan memastikan tadbir urus pelbagai peringkat dalam membentuk bandar dan komuniti yang lebih inklusif,” katanya.

MUF 2022 merupakan platform perbincangan isu-isu tempatan dan penyelesaian kepada isu-isu perbandaran serta perancangan bandar yang mampan.

Persidangan ini merupakan anjuran bersama KPKT menerusi Urbanice Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan pada Majlis Penutup Malaysia Urban Forum 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 18 OKTOBER 2022.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merupakan bandar tuan rumah penganjuran persidangan yang bertemakan ‘Tindakan Tempatan Kepada Bandar & Komuniti Berdaya Tahan Masa Hadapan’ itu.

MUF tahun ini telah dihadiri 5,000 peserta dari dalam dan luar negara yang membincangkan secara inklusif pelbagai isu perbandaran seperti sekuriti makanan, ekonomi kitaran tempatan, teknologi dan inovasi selaras dengan keperluan komuniti, perusahaan sosial, hidup berdaya tahan banjir dan juga reka bentuk bandar yang sihat. – MalaysiaGazette