MELAKA – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menyumbangkan hampir 2,000 peralatan termasuk dua buah bot kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh November ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, M. Zaki Mahat berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada sumbangan bantuan banjir syarikat berjumlah RM25 juta yang telah diumumkan Disember tahun lalu.

Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat membantu mangsa-mangsa yang sering berlaku pada musim Monsum Timur Laut di seluruh negara sebelum ini termasuk di Melaka.

M Zaki menyerahkan simbolik sumbangan kepada Kamarulsyah di Padang Kawad APM, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban agensi-agensi berkaitan membantu mangsa banjir seterusnya meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi musim tengkujuh.

“Hampir semua negeri telah kita salurkan bantuan ini sebelum dijadualkan ke Negeri Sembilan esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan Sumbangan Bantuan Banjir Petronas di Padang Kawad APM, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis itu, Petronas menyampaikan 1,500 baju hujan, 300 buah khemah, 150 jaket keselamatan serta dua buah bot dilengkapi enjin jenis Yamaha 15 kuasa kuda kepada APM untuk kegunaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Sementara itu Pengarah APM negeri, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, bantuan itu amat membantu pasukan itu meningkatkan kesiapsiagaan untuk operasi penyelamatan nanti.

“Melihat kepada pengalaman sebelum ini, mungkin peralatan ini akan banyak disalurkan ke Alor Gajah memandangkan daerah itu paling awal dan kerap dilanda banjir.

“Di Alor Gajah sahaja, 10 daripada 42 kawasan telah dikenalpasti sebagai kawasan berisiko banjir,” katanya. – MalaysiaGazette.