KUALA LUMPUR – Penyokong bola sepak tempatan meluahkan rasa tidak puas hati dengan waktu sepak mula t.oo malam yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada aksi final Piala AFC yang menemukan Kuala Lumpur City (KL City) menentang kelab dari Oman, Al Seeb pada Sabtu ini.

Ini kerana ada dianggap tidak menjaga sensitiviti umat Islam kerana perlawanan berlangsung ketika azan Maghrib berkumandang sekaligus menimbulkan masalah buat penyokong yang ingin hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Justeru itu, mereka merayu agar pengurusan KL City dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat berbincang dengan AFC agar mengubah waktu sepak mula kepada pukul 8 atau 8.30 malam untuk memudahkan urusan penyokong serta pemain.

Ada juga yang berharap AFC menangguhkan waktu sepak mula sekurang-kurangnya jam 7.30 malam untuk menghormati azan maghrib.

Malah segelintir peminat berpendapat keadaan serta waktu sepak mula pukul 7.00  malam bakal mengurangkan bilangan penyokong ke stadium kerana ia dilihat terlalu awal untuk tiba ke stadium kerana mereka kebiasaannya  solat di rumah dan masjid terlebih dahulu.

Sejak semalam, jualan tiket telah dibuka untuk pembelian para penyokong.

Difahamkan harga asal tiket tersebut ialah RM50 namun penyokong boleh mendapatkannya dengan harga promosi RM30 bermula 17 Oktober hingga hari ini.

Bagaimanapun, tiket tersebut hanya dijual secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my dan setakat ini tiada jualan secara fizikal di kaunter stadium.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu tinggal selangkah untuk mencipta kejutan sekali gus menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan tersebut selepas kali pertama diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast