Wanita berusia 23 tahun ketika disiasat penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pusat sebuah pusat kecantikan di Pandan Malim Melaka semalam selepas mengakui menyediakan perkhidmatan merawat dan memasang alat pendakap gigi tidak berdaftar dan hanya mmepunyai sijil mengikuti kursus kecantikan di China empat tahun lalu.

MELAKA – Hanya berbekalkan sehelai sijil mengikuti kursus pergigian di China empat tahun lalu, seorang wanita mengaut keuntungan mudah menyediakan perkhidmatan merawat dan memasang alat pendakap gigi sejak hampir dua tahun lalu.

Maklumat itu terbongkar selepas wanita berusia 23 tahun itu disiasat dalam serbuan sepasukan 13 Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pusat sebuah pusat kecantikan di tingkat dua sebuah bangunan perniagaan di Malim di sini semalam.

Wanita yang sudah berkahwin itu mengakui tidak tahu perkhidmatan itu hanya boleh ditawarkan di klinik pergigian berdaftar setelah mendapatkan nasihat daripada pakar Ortodontik.

Untuk rekod, rawatan pergigian yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan bukan pemegang Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) atau Sijil Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) yang sah adalah haram mengikut undang-undang di negara ini.

Antara peralatan pendakap gigi yang dirampas.

Sementara itu ketua operasi serbuan, Dr Rosnah Atan berkata, pemeriksaan itu dilakukan setelah mendapat aduan awam dan risikan selama kira-kira sebulan yang dilakukan oleh pihaknya.

“Berdasarkan siasatan awal, wanita itu mendakwa telah memberikan perkhidmatan pendakap gigi kepada pelanggannya hanya berbekalkan sijil pengalaman kursus selama tujuh hari yang dipelajari di China empat tahun lalu.

“Hasil pemeriksaan rekod daftar pelanggan, klinik gigi haram itu dipercayai telah beroperasi sejak hampir dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui media selepas tamat serbuan semalam.

Pegawai Penguat Kuasa KKM memeriksa peralatan yang digunakan.

Selain perkhidmatan pergigian haram, pusat berkenaan turut melakukan beberapa rawatan lain termasuk rawatan muka menggunakan mesin serta peralatan yang hanya boleh dikendalikan oleh pengamal bertauliah.

Dr Rosnah berkata, semakan juga mendapati premis berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi mengiklankan perkhidmatan mereka di laman sosial Instagram dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding klinik berdaftar untuk menarik minat pelanggan.

“Premis ini menawarkan pemasangan pendakap gigi pada harga sekitar RM1,200 sehingga RM1,500 untuk gigi atas dan bawah yang mana ianya lebih murah berbanding klinik berdaftar.

“Kita terpaksa menyita beberapa barangan berkaitan kes yang akan disiasat mengikut Seksyen 62 dan Akta 804 Akta Pergigian 2018 iaitu larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804,” katanya. – MalaysiaGazette.