KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang menawarkan RM1,000 kepada sejuta penjaja kecil boleh direalisasikan jika rakyat memberi mandat sepenuhnya kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya diberi mandat untuk mengepalai pentadbiran negara, beliau akan memastikan bajet itu terlaksana bagi memberi manfaat kepada penjaja kecil.
“Jika Kerajaan Keluarga Malaysia yang saya pimpin mendapat semula mandat pada PRU15, kita akan teruskan geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua penjaja kecil berdaftar dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
“Jika diberi peluang semula mengetuai negara ini selepas PRU15, kita akan bentangkan semula bajet ini demi kepentingan rakyat termasuk kumpulan penjaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, Bajet 2023 menerusi program SemarakNiaga 2023 ditambah baik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion berbanding RM40 bilion yang diumumkan pada 2022.
Ia merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.
Selain itu, sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.
Dalam pada itu, jelas Ismail Sabri, Bajet 2023 yang dibentangkan masih tidak boleh dilaksanakan kerana perlu dibentang semula dan diluluskan oleh Parlimen.
Menurut Perdana Menteri, tiada jaminan Bajet 2023 boleh terlaksana jika pihak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.
“Kalau orang lain, saya tak jamin apa yang kita janjikan tadi dapat dilaksanakan.
“Kuasanya terletak di tangan tuan-tuan dan puan-puan untuk memastikan bajet untuk rakyat ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan sebaik sahaja tarikh PRU15 diumumkan, banyak parti pembangkang akan menawarkan pelbagai janji pilihan raya termasuk manifesto dan Bajet bagi menarik sokongan pengundi.
“Selepas ini banyak parti-parti politik akan mengeluarkan Bajet mereka sendiri, akan mengeluarkan manifesto mereka sendiri.
“Cuma bezanya manifesto atau bajet yang dibentangkan oleh sesiapa sahaja selepas ini hanya janji yang belum tentu dapat dilaksanakan.
“Pengalaman kita lepas banyak janji di dalam manifesto tidak dapat dilaksana, beza dengan bajet yang dibentangkan, ia sudah mengambil kira semua termasuk kewangan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette