KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad lupa yang beliau pernah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jadi banduan istimewa.
Sedangkan sebelum ini, Mahathir adalah individu yang menuduh Anwar peliwat dan tidak layak menjadi Perdana Menteri, bidas Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mengulas kenyataan Mahathir yang menggesa layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar.
perlu dihentikan.
Kenyataan Mahathir itu dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.
Ini kerana, dakwa Mahathir, dunia mentertawakan sekiranya banduan berkenaan hadir ke Dewan Rakyat untuk menasihat kerajaan bagaimana untuk mentadbir negara.
Puad turut menyelar kenyataan Mahathir yang berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob patut melepaskan jawatannya kerana sudah hilang majoriti apabila 12 orang menteri menentang arus.
Soalnya, kata Puad, 12 menteri tersebut yang tidak berani letak jawatan dan menekan ‘butang’.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Mahathir senyap semasa Tan Sri Musa Aman mendakwa ada majoriti kerana 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokongnya.
Pendedahan Musa itu akhirnya menyebabkan Datuk Seri Shafie Apdal memujuk Yang di-Pertua Sabah membubarkan DUN.
”Masa Shafie Afdal, Tun M senyap pula. Shafie patut letak jawatan,” katanya.
Puad menambah, Mahathir ingat apabila beliau letak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh akan ada orang yang akan memujuknya sambil menangis dan berkata ”why, why, why” seperti yang pernah dibuat oleh Tan Sri Rafidah Aziz.
Rupanya ada, tetapi cuma Anwar sahaja, kata Puad sambil menambah ada menantu dan anak Mahathir sudah merancang bermastautin di negara lain.
”Takut jadi banduan ke?,” tanya beliau. – MalaysiaGazette