Perodua Alza Serba Baharu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif dijangka mencecah antara 600,000 dan 650,000 unit tahun ini berdasarkan unjuran beberapa firma penyelidikan.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan TIV mencapai 600,000 unit pada 2022, 17.9 peratus lebih tinggi berbanding 508,911 unit tahun lepas, dengan jangkaan penghantaran pesanan tinggi yang berterusan dalam beberapa bulan akan datang.

Dalam catatannya hari ini, ia berkata pengeluar peralatan asal (OEM) sedang berusaha untuk mempercepatkan pengeluaran dan import bagi memenuhi pesanan tertunggak yang besar selain mengurangkan tempoh menunggu.

Tunggakan itu adalah disebabkan oleh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) automotif yang akan tamat walaupun ia masih terpakai untuk tempahan yang dibuat sebelum 30 Jun 2022 dan penghantaran dilakukan sebelum 31 Mac 2023.

“Kami percaya pesanan tertunggak semasa untuk industri kekal kukuh dengan lebih 300,000 unit. Walaupun jangkaan pemulihan TIV yang utuh sehingga akhir tahun (disokong oleh tunggakan pesanan tinggi), kami masih mengekalkan saranan ‘neutral’ pada sektor itu, kerana kami menjangkakan TIV lebih perlahan pada 2023,” kata HLIB Research.

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘’overweight’’ untuk sektor automotif dengan sasaran TIV pada 2022 sebanyak 650,000 unit dan 660,000 unit untuk tahun hadapan, berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) masing-masing sebanyak 630,000 dan 636,000 unit. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast