CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menempatkan 1,462 kaunselor termasuk pegawai dan sukarelawan psikologi kaunseling di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir ketika musim tengkujuh, pada akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia sebagai langkah untuk membantu mangsa banjir yang berdepan dengan tekanan emosi ketika mengharungi musibah bencana itu.
“Untuk musim tengkujuh ini pun kita sudah sediakan pegawai-pegawai atau tenaga kerja kita yang akan ditempatkan di PPS banjir.
“Kita tahu mangsa banjir ini bukan sahaja kehilangan barang, benda dan sebagainya.
“Malah mereka ini melalui saat dan tekanan mental sangat tinggi disebabkan musibah yang telah pun dialami,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), di sini, petang ini.
Sebelum ini, KKM memperluaskan perkhidmatan kaunseling di peringkat komuniti dengan menempatkan seramai 200 orang pegawai psikologi kaunseling kontrak di peringkat daerah.
KKM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan mental di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, KKM perlu menambah jumlah pegawai psikologi kaunseling sedia ada bagi memenuhi keperluan dalam kawasan luar bandar.
“Ketika ini KKM mempunyai 369 kaunselor dan psikologi kaunseling dan kita memerlukan 400 lagi tenaga ini terutamanya di kawasan lapangan.
“Kalau boleh tambah (pegawai psikologi kaunseling) lagi, saya rasa lebih baik dan akhirnya mereka sendiri buat outreach, kalau boleh kawasan pedalaman dan luar bandar dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Kata beliau, KKM tidak boleh bersikap mengambil mudah dalam penggunaan bahasa bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman mendapat perkhidmatan kesihatan mental.
“Kalau pergi kawasan pedalaman Orang Asli di Semenanjung ataupun Sabah. Mungkin mereka tiada akses kepada bahasa, kita tak boleh salahkan mereka.
“Kita kena pelbagai (bahasa) mungkin buat kelas terjemahan di NCEMH dalam pelbagai bahasa supaya lebih mudah untuk mereka akses kepada perkhidmatan kesihatan mental,” ujarnya. – MalaysiaGazette