KUALA LUMPUR – Bintang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo meluahkan isi hatinya selepas sekali lagi membuat perangai apabila terus berlalu pergi melalui terowong menuju ke bilik persalinan ketika permainan masih belum tamat.
Ia berlaku semasa bertemu Tottenham Hotspur, semalam.
Menerusi kenyataan rasmi di akaun media sosialnya, Ronaldo berkata, dia perlu terus bekerja keras, menyokong rakan sepasukan dan sentiasa bersedia.
Katanya, bermain di United, semua pemain perlu bersatu untuk menjadi kelab kekal kuat.
“Seperti yang selalu saya lakukan, saya cuba bermain dan hidup dengan menghormati rakan sekerja saya, jurulatih saya dan lawan saya. Itu tidak berubah. Saya tidak pernah berubah.
“Saya adalah orang yang sama dan profesional yang sama yang bermain di peringkat tertinggi bola sepak sejak 20 tahun lalu dan rasa hormat sentiasa penting dalam membuat keputusan saya.
“Saya bermula dalam usia yang sangat muda, pemain yang lebih tua dan berpengalaman sangat penting bagi saya. Kemudian, saya sentiasa mahu menunjukkan contoh diri saya sendiri kepada pemain muda yang berkongsi bilik persalinan dengan saya.
“Malangnya itu tidak selalu berlaku dan kadang-kadang dalam keadaan tertentu, emosi telah menguasai diri kita. Sekarang saya rasa saya perlu terus bekerja keras di Carrington, menyokong pasukan dan bersedia untuk memberikan segalanya dalam sebarang perlawanan.”
“Berputus asa di bawah tekanan bukan satu pilihan. Ia tidak pernah berlaku. Kami adalah Manchester United dan kami harus bersatu. Tidak lama lagi kami akan kembali bersama,” tulisnya.
Dalam perlawanan menentang Spurs itu, Ronaldo dilihat meninggalkan bangku simpanan dan masuk ke terowong sebelum perlawanan tamat.
Dia tidak bermula dari kesebelasan utama dan langsung tidak diberikan minit permainan dalam perlawanan ini.
United mempamerkan aksi terbaik mereka di bawah kendalian Erik ten Hag, menewaskan Spurs di tangga ketiga hasil jaringan Fred dan Bruno Fernandes pada separuh masa kedua.
Sebelum ini pemain antarabangsa Portugal itu telah menjadi tumpuan selepas dikeluarkan ketika seri menentang Newcastle United. – Agensi