KUALA LUMPUR – Pejuanita menarik balik usaha poster pendanaan awam (crowfunding) sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dibuat selepas diarahkan oleh pucuk pimpinan parti Pejuang.
Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi akur dengan ketetapan parti Pejuang dan berterima kasih kepada pihak yang sempat menghulurkan derma.
“Tiada paksaan pun crowdfunding ini, nak bagi boleh, tak nak bagi tak apa. Parti-parti lain juga crowdfunding sebelum ini untuk pilihan raya umum (PRU), jual meja dan sebagainya tapi tak apalah.
“Walaupun misi meramaikan wanita muda di Parlimen tertangguh, semoga ada cara lain nanti untuk berbakti.
“Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih untuk semua yang sudah menderma. Ramai yang bagi, terharu sangat. Walaupun singkat sahaja masa saya iklankan crowdfunding itu sebelum delete poster, saya tak sangka ramai yang bagi sumbangan.
“Terharu sangat. Saya doakan Allah ganti balik rezeki anda semua dengan lebih tinggi,” tulisnya dalam facebook.
Terdahulu, Nurul Ashikin mengakui memang susah untuk calon muda sepertinya mahu bertanding dengan dana yang kecil tanpa tajaan.
“Semua orang pun tahu ratus ribu kos bertanding di Parlimen. Jika nak tunggu cukup dana, sampai bila-bila hanya orang tua saja di arena pilihan raya. Niat saya nak berusaha sendiri untuk duit kempen, di Amerika Syarikat, United Kingdom biasa dengan crowdfunding waktu election, the public will hold the accountability of the MP since they use public donations to contest,” katanya.- MalaysiaGazette