Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan yang disyaki mendera anak angkatnya ditahan di kediamannya di Pangsapuri Seri Mutiara, Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati pertengkaran tercetus antara pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 19 tahun dengan kakak dan abang iparnya kerana memarahi anak angkat mereka pada jam 7 malam Rabu lalu.

“Pengadu turut mendakwa melihat mangsa pernah dipukul oleh suspek (bapa angkat),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pemeriksaan ke atas mangsa yang dijaga oleh pasangan suami isteri itu mendapati kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan yang dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek.

Menurut beliau, mangsa yang berusia empat tahun lima bulan itu telah dirujuk ke Hospital Ampang dan sedang menerima rawatan.

Jelasnya, polis juga sedang menyiasat sama ada bintik hitam pada badan mangsa adalah akibat perbuatan cubit atau kesan dicucuk dengan puntung rokok.

Mohamad Farouk berkata, lelaki itu yang didapati tidak mempunyai rekod  kesalahan lampau dan ujian air kencingnya negatif dadah direman selama lima hari sehingga hingga 25 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. -MalaysiaGazette