LIPIS – Seorang pemuda maut dalam nahas akibat pertembungan antara dua kenderaan di KM7, Jalan Lipis-Merapoh pada jam 10.30 malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Vios dari arah Merapoh ke Lipis telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Kereta Vios itu telah bertembung dengan Proton Persona yang dipandu seorang lelaki Melayu bersama isteri dan anak mereka yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Chegar Perah Satu.
Akibat pertembungan itu, kereta Vios terbabit terbalik dan menyebabkan pemandunya yang berusia 30 tahun maut di lokasi kejadian.
“Lokasi kemalangan adalah di kawasan jalan berselekoh, gelap tanpa lampu jalan ditambah cuaca hujan ketika kemalangan,” tambah Azli.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat.
Kesemua penumpang dan pemandu kereta Proton Persona hanya mengalami cedera ringan dan luka luaran.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.