KOTA KINABALU – UMS telah mula menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan bagi sesi 2022/2023.
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, program kejururawatan di UMS bermula dengan penawaran program Diploma Kejururawatan pada tahun 2008.
”Untuk merealisasikan pembangunan modal insan dalam kalangan rakyat Sabah, FPSK, UMS telah mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan.
“Program ini telah mendapat kelulusan daripada badan profesional yang memantau tahap kualiti pendidikan kejururawatan iaitu Lembaga Jururawat Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia sehingga ia dapat dilaksanakan pada tarikh yang bersejarah ini,” katanya.
Sehingga tahun ini, program Diploma Kejururawatan telah melahirkan lebih 500 graduan berkualiti serta diiktiraf dan kesemua graduan ini telah memenuhi keperluan tenaga kerja kejururawatan tempatan, termasuk juga antarabangsa seperti di Singapura, Australia dan
Timur Tengah.
Tambah Safree, berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan program kejururawatan UMS, hampir 100 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor kerajaan dan swasta sama ada dalam atau luar negeri.
“Ini membuktikan profesion kejururawatan adalah sangat diperlukan tidak kira di mana sahaja. Saya menyarankan agar lebih ramai lepasan STPM, Matrikulasi dan diploma mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan di UMS dan berharap lebih ramai jururawat profesional yang berkualiti dilahirkan oleh universiti ini,” katanya. – MalaysiaGazette