Bakal calon bebas Parlimen Batu, Nur Fathiah Syazwana atau lebih popular dengan panggilan Cleo

KUALA LUMPUR – Parlimen Batu dijangka menjadi antara kerusi panas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana menjadi tumpuan lebih tujuh calon bebas serta parti-parti yang bertanding.

Antara yang disebut termasuklah penyandang kerusi itu, P Prabakaran dari PKR selain Tian Chua juga dari parti yang sama sebelum ini dua penggal menjadi wakil rakyat situ.

Turut menawarkan diri bertanding peguam dan aktivis kontroversi, Siti Zabedah Kasim yang dikenali Siti Kasim.

Nathan Pillai mewakili Warisan, juga Arabath Ali Arul Alavudeen menjadi pilihan UMNO yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan dan kerja amal melalui Pertubuhan Kebajikan ARABATH Kuala Lumpur juga disebut-sebut bakal bertanding.

Seorang lagi yang menjadi sebutan ialah ibu tunggal persis model yang terkenal dengan kerja-kerja amal sejak kebelakangan ini, Nur Fathiah Syazwana atau dikenali sebagai Cleo.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Nur Fathiah politik sebenarnya begitu dekat dengan perjuangannya dalam melakukan kerja-kerja aktivis serta kebajikan kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan Parlimen Batu menggunakan tagline ‘BatuBaru’. 

Bergelar ibu tunggal kepada dua orang anak kecil dan seorang ahli perniagaan dalam bidang keselamatan (defence), kesibukan diri langsung tidak pernah menghalangnya daripada menceburkan diri dalam politik.

“Politik itu minat saya sejak dulu lagi. Ketika masih belajar lagi, saya merupakan graduan dari London Teacher Training College, United Kingdom dan kini sedang menyambung pengajian dalam bidang perundangan pula. Di samping itu, minat untuk terus melakukan kebajikan itu datangnya melalui penubuhan NGO saya, HAWA.

“HAWA ini fokusnya dalam membantu komuniti di sini terutamanya golongan ibu tunggal, isu berkaitan wanita terutama ketika pandemik dan perkara-perkara lain yang kini menjadi satu keperluan, kita mendekati golongan B40 kerana mereka juga yang amat memerlukan ketika ini.

“Kita begitu aktif di sini, ramai mengenali kita dan kerja kita. Banyak yang perlu dilakukan dan walaupun banyak sangat rintangan saya lalui namun kerana ini merupakan sesuatu yang sudah dijiwai saya, maka ianya lebih mudah.

“Ini juga telah memberikan saya satu inspirasi untuk mencuba nasib sebagai calon bebas di Parlimen Batu ini. Rata-rata yang mengenali saya, juga penduduk serta masyarakat turut memberi saya sokongan untuk bertanding pada PRU15 ini,” katanya membuka bicara.

Kata Nur Fathiah yang berdarah kacukan Belanda-Cina ini, beliau lebih gemar untuk dikenali sebagai seorang aktivis masyarakat berbanding menjadi ‘influencer’.

“Kerana itu juga saya tidak banyak menggunakan media sosial untuk mempromosi diri kerana ada kalanya yang tampil memberi pelbagai gambaran negatif, namun jika anda mahu berjaya anda perlu lakukan dan lalui apa sahaja dengan penuh keikhlasan serta kematangan,” ujarnya.

Bercakap tentang persiapan PRU15 ini, kata Nur Fathiah, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik besar di negara ini sebaliknya mahu mencuba nasib menjadi calon bebas yang akan memberikan dirinya kelebihan untuk bersuara lantang dan bebas menyuarakan isu tanpa perlu sebarang sekatan.

Jelasnya, menjadi calon bebas juga ada kelebihan apatah lagi jika berpeluang menjadi wakil rakyat kerana pengundi mahukan seseorang yang mampu membela nasib mereka tanpa berpandukan apa-apa peraturan sebuah parti politik.

“Malah saya tidak risau seandainya ada ‘giant’ yang akan berentap dengan saya dalam PRU ini. Saya sendiri dengar ada nama-nama besar akan bertanding di sini, tetapi itu tidak menjadi kegentaran saya. Hakikatnya, seorang wanita juga mampu berdiri sama tinggi, tidak ada perbezaan.

“Jika saya diberikan peluang untuk menang, saya mahu Parlimen Batu ini bertukar wajah, menjadi ‘mini Kuala Lumpur’ yang begitu pesat membangun selain memastikan setiap isu yang di hadapi oleh penduduk sini di tangani sebaik mungkin, jika ada yang rasa ini retorik, anda akan dapat nilai saya melalui kerja-kerja saya,” ujarnya.

Parlimen Batu dianggarkan memiliki 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik. Pecahan undi mengikut kaum di kawasan itu adalah 43% Melayu, Cina (30%), India (20%), dan 7% bagi lain-lain. -MalaysiaGazette