Kesemua warga Myanmar itu dikesan dalam belukar kebun getah di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

BUKIT KAYU HITAM – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba masuk ke negara menggunakan laluan yang tidak sah diberkas dalam serbuan di sempadan Malaysia-Thailand di sini, semalam,

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemua warga asing itu diberkas menerusi Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam di Bukit Kayu Hitam.

“Pasukan peronda mengesan pergerakkan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan selain cuba bersembunyi di kawasan belukar kebun getah pada jam 8 pagi.

“Susulan itu, anggota bertugas berjaya menjejaki  13 individu warga Myanmar.

Kesemua suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah kenyataan itu, pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua Pati itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain memasuki negara melalui laluan haram.

“Secara keseluruhan nilai rampasan serbuan itu berjumlah RM4,004 dan rampasan membabitkan tujuh buah telefon bimbit serta wang tunai dalam matawang tempatan, Myanmar dan Thailand.

“Kesemua 13 Pati yang ditahan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette