KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak menyifatkan kesilapan penjaga gol membawa jaringan pertama kelab Al Seeb merupakan titik peralihan kepada kekalahan 0-3 di aksi final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Mengakui Al Seeb sebagai pasukan yang berkualiti, Hodak berkata, membolos gol pembukaan akibat kesilapan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza, adalah sesuatu yang jarang berlaku.
“Mereka (Al Seeb) hanya mempunyai dua peluang tetapi menjaringkan tiga gol akibat kesilapan gol pertama.Pasukan utama Asia seperti Al Seeb dari Oman akan menghukum anda jika melakukan kesilapan seperti itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Ditanya sama beliau kesal tidak memilih Azri Ghani sebagai penjaga gol utama berbanding Mendoza, jurulatih dari Croatia itu berkata Mendoza berhak berakhir pada final selepas berjaya menyelamatkan beberapa percubaan sepanjang saingan tersebut dan merupakan antara penjaga gol terbaik di liga Malaysia.
“Tiada siapa menjangka kami akan memenangi perlawanan sukar di tempat lawan menentang ATK Mohun Bagan dari India dan PFC Sogdiana Jizakh dari Uzbekistan yang membawa kepada perlawanan akhir, jadi kami telah mencapai banyak kejayaan,” katanya.
Meskipun kekalahan itu pastinya sukar diterima namun beliau berharap kekalahan di sini tidak akan mematahkan semangat anak buahnya untuk mempertahankan Piala Malaysia.
Dalam pada itu, pengurus Al Seeb, Rasheed Jabar Al-Yafai, gembira dapat memenuhi impian kelab untuk merangkul Piala AFC dan menjadi kelab Oman pertama memenangi pertandingan paling berprestij itu di Asia. – BERNAMA