KUALA LUMPUR – Meskipun jadualnya padat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkesempatan membuat tinjauan di Little India, di Brickfields sempena Pesta Deepavali.
Perdana Menteri itu tiba jam 9.20 malam disambut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC.
Ismail Sabri hadir bagi meninjau persiapan masyarakat India sempena Deepavali, Isnin ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam tinjauan itu, Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam menemui peniaga-peniaga di sekitar Brickfields dan Little India.
Terdapat lebih 150 gerai menjual pakaian, makanan dan barang keperluan sempena Deepavali dijual di pesta ini.
Pesta sempena Deepavali ini berlangsung selama 10 hari bermula 14 Oktober sampai 24 Oktober 2022.
Dalam tinjauan itu, Ismail Sabri juga turut menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 12 penerima, antaranya adalah anak-anak yatim.
Ismail Sabri bersama Saravanan kemudiannya ke Pusat Pakaian Bollywood bagi memeriahkan suasana membeli pakaian Deepavali sebelum bergerak pulang. – MalaysiaGazette