Azleen hadir di Program Khidmat Servis Minyak Enjin Percuma bersama Rider P-Hiling di Jalan Balau 15 dekat Taman Rinting hari ini.

JOHOR BAHRU – “Pemuda UMNO tiada masa nak lakukan kerja bodoh. Banyak lagi yang kami boleh lakukan.”

Itu reaksi Exco Pemuda UMNO Pusat Azleen Ambros apabila Pemuda UMNO  sekali lagi dituduh cuba melakukan provokasi  di program Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berlangsung di Dewan Yong Sheng, Muar malam semalam.

Jelasnya, dakwaan yang seakan propaganda parti MUDA itu disifatkan sebagai perjuangan kurang matang dalam berpolitik.

“Banyak lagi kerja yang boleh Pemuda UMNO lakukan, afalah lebih baik kita semua (Pemuda UMNO) bergerak dan berjumpa rakyat  dan menawarkan khidmat terbaik untuk rakyat di Johor khususnya.

“Kalau setakat drama propaganda sebegini  saya rasa ini sudah tahun 2022  saya tidak rasa itu jenis politik yang kita sendiri  patut kita amalkan dan kita mahu amalkan.

“Jadi ini semua bukan kita untuk gunakan pendekatan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Khidmat Servis Minyak Enjin Percuma bersama Rider P-Hiling di Jalan Balau 15 dekat Taman Rinting hari ini.

Jelas Azleen rakyat juga sudah semakin bijak dalam menilai bagi memilih calon dan parti politik mana yang dimahukan mereka untuk mentadbir kerajaan.

“Polis seharusnya ambil perhatian jika pihak penganjur sudah buat laporan. Kita tidak mahu orang luar anggap pilihan raya sesuatu yang teruk dengan keganasan. Kita ada banyak kaedah dan pendekatan lebih baik untuk tonjolkan bahawa kita relevan dan lebih baik, kerana itu kita pilih pendekatan menyantuni rakyat dan bukan provokasi,” katanya.

Program MUDA yang berlangsung di Dewan Yong Sheng, Muar malam semalam kecoh apabila dianggar seramai 30 individu yang memakai ‘hoodie’ dan pelitup muka bertindak membuat provokasi.

Kumpulan itu dikatakan telah membaling botol, menolak sukarelawan, membaling mercun, menendang dan merosakkan kenderaan sambil menjerit dan meminta mereka yang datang berhenti dan meninggalkan dewan tersebut.

MUDA juga mendakwa ia merupakan kali kedua insiden berkenaan menimpa Muda dalam tempoh seminggu selepas program ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar pada 17 Oktober lalu turut dilaporkan diganggu kumpulan bermotosikal yang melakukan provokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast