KUALA LUMPUR – Laporan siasatan Pasukan Petugas Khas mengenai dakwaan salah laku Tan Sri Tommy Thomas yang didedahkan secara terbuka minggu lalu membongkarkan bahawa bekas Peguam Negara itu dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berulang kali melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 2018 dan 2019.
“Tiada sebarang lantikan SPK diterima kerajaan Pakatan Harapan (PH) biar ia adalah keperluan prosedur undang-undang.
“Laporan turut menyatakan Tommy sebagai Peguam Negara serta Ketua Pendakwa Raya masa itu tidak patut ada sebarang penglibatan dalam proses pelantikan hakim,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Artikel berkaitan:
- Tommy, Majlis Peguam tidak beri kerjasama kepada Pasukan Petugas Khas
- Kerajaan akan dedah siasatan buku Tommy Thomas – PM
- Laporan buku Tommy Thomas dedah kegagalan, penipuan PH – Shahril
Berdasarkan laporan Pasukan Petugas Khas tersebut, pada 13 Jun 2018, SPK mencadangkan nama Tan Sri Azahar Mohamad sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Rohana Yusuf (Presiden Mahkamah Rayuan) dan Datuk Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).
Namun, Tun Richard Malanjum kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara atas cadangan Dr. Mahathir dan Tommy diikuti Tan Sri Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan), Tan Sri Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya) dan Tan Sri David Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).
Seterusnya pada 18 Mac 2019, SPK mencadangkan nama Ahmad sebagai Ketua Hakim Negara dan David (Presiden Mahkamah Rayuan), Tun Tengku Maimun Tuan Mat (Hakim Besar Malaya) dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).
Walau bagaimanapun, atas cadangan Dr. Mahathir dan Tommy, Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara diikuti Rohana (Presiden Mahkamah Rayuan), Abang Iskandar (Hakim Besar Malaya) manakala David dikekalkan sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette
Apa komen BARuah Council? tak nak demo kaaa?