Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kian terasa dengan berbaki kira-kira tiga minggu lagi penduduk negara ini akan mengundi.

PRU-15 ini dikatakan menjadi medan perang terbesar antara parti-parti yang bertanding bagi membentuk barisan Kabinet baharu untuk menerajui negara.

MalaysiaGazette hari ini sempat menemui beberapa orang bagi untuk mengetahui wakil rakyat yang diingini mereka.

Orang awam, Aimi Noorwany ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai harapan orang ramai terhadap PRU15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OKTOBER 2022.

Bagi peniaga, Aimi Noorwany, 23, beliau mahukan calon wakil rakyat yang adil dan berjiwa rakyat serta tidak mementingkan diri sendiri.

Katanya, segala yang dijanjikan dalam manifesto sewaktu berkempen mestilah ditunaikan.

Tambah Aimi, masih banyak lagi penambahbaikan yang boleh dibuat barisan jemaah menteri yang mentadbir negara pada masa depan.

“Secara jujurnya, apa yang saya tengok secara kasar, kerajaan yang ada sekarang ni tak kukuh. Perlukan banyak lagi cara kerja yang lebih telus, jangan pentingkan diri sendiri sahaja”

“Kena pandang lagi apa yang rakyat kurang, jadi pemimpin yang telus. Jaga kebajikan pelajar, penganggur yang hilang kerja selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana ramai lagi yang masih gagal mendapatkan sumber pendapatan baharu.” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di ibu kota, hari ini.

Permasalahan rakyat perlu dititikberatkan supaya dapat memahami beban rakyat, ujarnya.

Orang awam, Johari Md Salleh ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai harapan orang ramai terhadap PRU15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OKTOBER 2022.

Penyanyi jalanan, Johari Md Salleh, 53, berkata, beliau hanya mahukan wakil rakyat yang bersederhana serta ikhlas ketika menjalankan tugas.

“Jangan jadi macam sesetengah wakil rakyat sekarang, apa yang dia cakap semata-mata untuk kepentingan sendiri. Kalau orang macam ni kita tolak jauh-jauh,” jelasnya.

Beliau juga mahu seorang wakil rakyat yang boleh menjadi tauladan dan boleh dicontohi rakyat.

“Saya harap wakil rakyat jadilah contoh yang rakyat boleh ikut. Kami sebagai rakyat mengundi untuk anda,” katanya.

Katanya, kerajaan yang ada kini kurang berfungsi kerana tidak stabil, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri ditukarkan tiga kali dalam tempoh satu dekad.

“Pihak sini nak buat tapi pihak situ tak nak buat, kalau ikut sini kena tarik sokongan, semua hanya kerana kerajaan campuran.

“Harap kerajaan lepas ni tiadalah campuran. Biar dominan tapi kena tolong rakyat kalau tak kami jatuhkan kau semula.” tambahnya.

Orang awam, Thamarai Vany ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai harapan orang ramai terhadap PRU15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OKTOBER 2022.

Pemilik kedai bunga, Thamarai Vany, 48, mahukan seorang wakil rakyat yang mengambil berat tentang kebajikan pengundinya tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama.

Beliau juga mahukan kerajaan baharu selepas PRU-15 kerana berpendapat kerajaan yang mentadbir hari ini banyak kekurangan namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Katanya, wakil rakyat perlu menyediakan peluang pekerjaan dan mendahulukan rakyat tempatan.

Apabila ditanya mengenai soal umur calon yang bakal bertanding, beliau berkata, calon muda dan tua saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kalau boleh dalam barisan menteri tu adalah yang tua sedikit, mesti ada backup, orang tua dicbelakang”

“Tapi macam mana pun, semua sama juga. Bila tiba musim mengundi baru cari kita. Habis undi tak tahu pergi ke mana.

“Saya cuma nak someone yang konsisten menjaga negara.” katanya.

Orang awam, Yusof Md. Noor ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai harapan orang ramai terhadap PRU15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OKTOBER 2022.

Sementara itu, pesara operator kilang, Yusof Md. Noor, 61 mahu wakil rakyat yang bersih, cekap, dan amanah.

“Bersih dari segala-galanya, jangan lah ada yang banyak main politik saja”

“Susah kita nak harap, cerita (calon) sahaja lebih. Buatlah sesuatu kerja untuk rakyat, jangan sekadar ikut matlamat yang menghalalkan cara” katanya.

Namun tambah beliau, usia bukan penimbang ukur seseorang naik menjadi pentadbir.

“Biarpun dia tua. Kalau dia masih boleh, masih berfikiran bernas dengan idea yang boleh menyumbang dengan baik, teruskan”

“Sekarang masalahnya kebobrokan rasuah, dari kepala sampai ke bawah. Memanglah susah mau kurang, tapi kalau boleh kurangkanlah. Di mana-mana pun macam tu. Jangan lah macam sekarang, berlebih-lebihan” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast