BAYAN BARU – Parti Gerakan akan bertanding sekurang-kurangnya 18 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
MalaysiaGazette difahamkan parti itu akan mempertaruhkan calon mereka di lapan negeri membabitkan Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka serta Johor.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, sebanyak 80 peratus calon yang akan bertanding di 18 kerusi itu terdiri daripada calon muda serta muka baharu.
“Apa yang boleh saya maklum, kita akan dapat lebih kerusi berbanding ketika bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana ketika itu Gerakan bertanding di 12 Parlimen.
“Bagi Pulau Pinang, kita berhasrat bertanding di Parlimen Bayan Baru, Jelutong, Bukit Bendera, Tanjong serta Batu Kawan.
“Bagi negeri lain, Gerakan sudah tahu antara kerusi yang akan ditandingi tapi kita belum boleh umum lagi buat masa ini,” katanya pada sidang media pelancara bilik gerakan PN bagi Parlimen Bayan Baru di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.
Tambah beliau, pengumuman calon yang akan bertanding PRU15 akan diumumkan sebelum 30 Oktober ini di Pusat Gerakan negeri masing-masing.
Mengulas lanjut, Dominic turut memberi bayangan akan bertanding di Pulau Pinang namun enggan mendedahkan sama ada ia membabitkan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
“Kali ini (PRU15) saya akan pulang ke Pulau Pinang dan berharap mampu kembali kegemilangan Gerakan di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette