Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menghantui Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan mereka sanggup ‘tidur sebantal’ demi merebut kuasa tetapi ‘mimpi lain-lain’.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu tersebut antara anasir ‘senyap’ yang membawa kepada pembentukan kerajaan tidak stabil dan cacamarba.

“Tiada kesepakatan dan kebersamaan antara mereka walaupun pada perkara yang asas iaitu penggunaan logo.

“Pada akhirnya yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan ini adalah rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Sebaliknya, beliau memberitahu, logo BN melambangkan kerjasama dan kebersamaan setiap komponen parti politik yang bernaung di bawahnya.

Ahmad Zahid memberitahu, neraca perikatan dan kesepakatan bergandingan bahu membawa kestabilan dan kemakmuran.

“Rakyat wajar menilai perbezaan ini dalam membuat penentuan yang amat penting kepada Malaysia pada PRU-15,” jelasnya.

Beliau menyeru kepada rakyat agar meyakini BN sebagai satu-satunya gabungan politik menawarkan sebuah kemuafakatan serta perpaduan yang jujur dan ikhlas. – MalaysiaGazette