KUANTAN – Penyandang kerusi Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menafikan ucapannya dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PH) Pahang di Mentakab pada Khamis lalu bersifat menghina institusi diraja Pahang.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal terhadapnya adalah fitnah dan sengaja diputar belit atas beberapa faktor kepentingan peribadi.
“Dia (Fadzli) sengaja spin dan buat fitnah ucapan saya.
“Terang-terang saya menyatakan saya orang Pahang, anak Pahang yang malu dengan Orang Besar Empat dan Mantan Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib) menyeleweng wang rakyat atau dalam bahasa kasarnya, ‘penyamun’,” katanya.
Zulpuri berkata, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang itu sengaja menabur fitnah ke atasnya bagi menambah kebencian institusi diraja Pahang selain untuk mendapat sokongan daripada penduduk di Raub.
Malah, kenyataan itu juga katanya, membuktikan strategi basi UMNO yang terus-terusan menggunakan elemen agama, bangsa dan istana untuk menyerang parti pembangkang terutama menjelang pilihan raya.
“Tak kan sebut Orang Besar bergelar yang ada menyeleweng wang rakyat pun salah dan hina Istana?,” soalnya.
Zulpuri menegaskan, Sultan Pahang, yang juga Yang Dipertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sangat disanjungi dan disayangi rakyat.
Justeru, katanya, sebagai keturunan keluarga Orang Besar Berlapan, beliau amat malu apabila ada dalam kalangan Orang Besar Pahang yang menyeleweng wang rakyat.
“Disebabkan sekarang dia (Fadzli) tengah melobi untuk bertanding kerusi Dewan Undangan (DUN) Dong (di bawah Parlimen Raub) yang sebelum ini disandang oleh Datuk Sri Saharuddin Moin.
“Jadi, beliau mahu mendapatkan millage murahan,”kata Zulpuri.
Pemimpin DAP itu berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas berkenaan laporan polis yang dibuat Pergerakan Pemuda UMNO Pahang tiga hari lalu dan laporan polis oleh Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Pahang hari ini berkaitan isu sama. – MalaysiaGazette