KUALA LUMPUR – Sikap membisu pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) terhadap hasil laporan Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan terhadap dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness‘ tulisan Tan Sri Tommy Thomas dianggap sebagai janggal.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejanggalan itu kerana pemimpin PH dan PN seringkali bercakap mengenai kebebasan institusi kehakiman.
Bagaimanapun selepas lebih 48 jam PPK didedahkan, belum ada pimpinan kedua-dua parti tersebut berani menyatakan pendirian tegas terhadap hasil siasatan terutama mengenai campur tangan pelantikan hakim.
“Yang berlaku sekarang adalah imej kehakiman. Bagaimana dunia luar dan rakyat melihat negara kita sekiranya hakim-hakim utama didakwa mendapat lantikan melalui tekanan politik pihak tertentu
“Tapi nampaknya PH dan PN berdiam diri. Langsung tidak berani mengutuk sebarang dakwaan Tommy Thomas yang telah mencalar tunjang keadilan negara.
“Ini menunjukkan PH dan PN sebenarnya bias dan hanya menjaja konsep integriti untuk memburukkan pihak lawan. Tetapi tidak berani mempertahankan integriti itu hari ini apabila situasi tidak memihak kepentingan politik mereka,” kata Asyraf Wajid.
Beliau menegaskan pentabiran Barisan Nasional (BN) sejak era Tun Abdullah Ahmad Badawi telah telah berusaha memastikan hakim yang dilantik bebas daripada campur tangan politik termasuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Bagaimanapun Asyraf Wajdi berkata, pada zaman PH, lantikan hakim-hakim ditentukan oleh Peguam Negara dan Perdana Menteri yang sudah tentunya mempunyai kepentingan tersendi
“UMNO mengakui pada zaman Perdana Penteri keempat dahulu kerajaan telah bersikap tidak adil kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima yang lain melalui pembayaran ex gratia pada 2008.
“UMNO sentiasa mengakui dan memperbaiki diri walaupun kesilapan itu dibuat oleh generasi lepas yang telahpun meninggalkan parti.
“Tetapi PH dan PN nampaknya amat hipokrit dan bersikap selective. Sehingga tidak berani menyatakan pendirian tegas dalam isu Tommy. Inilah wajah sebenar kedua-dua PH dan PN,” kata Asyraf Wajdi.
PPK menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan salah laku Tommy ketika dilantik sebagai peguam negara.
Antaranya campur tangan Tommy dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia kerajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk mewakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.
Selain itu, Tommy turut tidak patuh dengan peraturan dan pekeliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Bekas Peguam Negara era Pakatan Harapan itu turut dikesan melakukan pecah amanah apabila beliau mendedahkan perbualan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.-MalaysiaGazette