Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran pendaftaran blok politik itu tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, tindakan kerajaan itu bagaikan cuba menghalang GTA daripada mewujudkan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah selepas PRU15.

“GTA terpaksa menggunakan Parti Pejuang Tanah Air sebagai gantinya dalam PRU15.

“Ini kerana kerajaan tidak meluluskan pendaftaran GTA, tetapi Pejuang seperti juga GTA.

“GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, GTA menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya pada 6 September lalu.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, dengan ini empat parti dalam gabungan GTA akan menggunakan satu logo yang dikenali pada PRU15 akan datang.

Antara parti politik yang menganggotai GTA adalah Perjuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Dalam pada itu, Dr Mahathir berikrar untuk mengambil alih peranan UMNO bagi melindungi dan memajukan orang Melayu di negara ini.

“GTA terdiri daripada orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah. Hanya orang Melayu sahaja yang faham apa yang dihadapi oleh orang Melayu.

“Dahulu orang Melayu dilindungi, oleh Kerajaan-Kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu UMNO.

“Tetapi UMNO di bawah Najib Razak sudah berubah daripada perjuangan melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO,” katanya.

Katanya, penubuhan GTA selaras keperluan itu, apatah lagi nasib orang Melayu kian terpinggir dalam pelbagai aspek.

“GTA akan kembali kepada perjuangan asal UMNO. Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu

“Tumpuan kita bukan untuk dapat tempat untuk diri kita tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara.

“Kita akan atasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka.

“Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini,” katanya. – MalaysiaGazette