KUALA LUMPUR – Cadangan mewujudkan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) nampaknya menerima sambutan baik terutama dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.
Seorang penjawat awam, Azman Ibrahim yang berasal dari Bumi Kenyalang berpendirian cadangan berkenaan memberi kebaikan kepada kedua-dua negeri di Borneo itu.
Jelasnya, TPM yang akan mewakili setiap negeri berkenaan bukan sahaja akan menjadi wakil suara rakyat di peringkat tertinggi pentadbiran negara malah dapat memastikan projek yang berkaitan dengan rakyat dilaksanakan segera.
“Saya amat bersetuju dengan cadangan untuk adakan tiga TPM dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Sebab sebelum ini kita belum ada TPM dari Sabah dan Sarawak, jadi kalau kerajaan buat kira bersesusaian dengan kita sebagai satu Malaysia.
“Apa-apa dari Sabah dan Sarawak ada wakil suara untuk mewakili rakyat, juga akan memajukan kedua-dua negeri. Apa-apa projek yang sama ada projek yang sebelum ini terbengkalai, berpotensi untuk dipercepatkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Seorang pekerja swasta, Azidah Passang, 34, pula berpendapat, mempunyai wakil TPM dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan memberikan kelebihan kepada rakyat sekiranya pemimpin yang dipilih adalah dalam kalangan yang lantang bersuara.
Jelas wanita berasal dari Tawau, itu, pemimpin yang lantang akan memberi impak kepada pengurusan dan pentadbiran kerajaan.
“Tiga jawatan TPM tidak pernah dibuat di mana-mana negara, saya rasa dengan itu suara rakyat lebih didengar tapi pemilihannya perlu daripada pemimpin bersuara lantang,” katanya.
Selain itu, seorang lagi rakyat daripada Negeri di Bawah Bayu turut senada dengan yang lain.
Ujar pesara, Mohd Shahril Abdullah, 58, dari Kota Kinabalu, tidak dapat dinafikan mempunyai tiga TPM dalam sebuah kerajaan apatah lagi mewakili dua buah negeri akan memberi lebih kelebihan.
Bagaimanapun, katanya, ia perlu digalas oleh pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab untuk memastikan keberkesanan jawatannya dinikmati oleh rakyat.
“Cadangan yang baik tapi bergantung kepada siapa yang diamanahkan sebagai TPM. Sesiapa yang dilantik sepatutnya ada perasaan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kami berharap sekiranya betul akan ada tiga TPM yang juga daripada Sabah dan Sarawak rakyat akan dapat pembelaan sepenuhnya,” tambahnya.
Dalam pada itu, bagi anak muda, Arif Hadiyan Mohd Zahrain, 26, cadangan itu bakal memberikan perubahan positif kepada negara sekiranya dilaksanakan secara berkesan.
“Saya rasa itu okay sebab ianya menunjukkan demokrasi di negara ini menuju kepada kemajuan. Semua calon Perdana Menteri dan TPM objektifnya adalah sama untuk bela rakyat tapi bila sudah dapat tiga jawatan TPM kita lihat apa yang mereka boleh realisasikan janji kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Zakiah Manap, 58, pula menganggap pelantikan tiga TPM hanya akan membazirkan wang rakyat untuk membayar gaji mereka.
“Saya tidak setuju sebab nanti pembayaran gaji jadi lagi banyak. Duit gaji boleh beri kepada rakyat sepatutnya. Cukup ada satu PM dan satu timbalan sebab ada menteri-menteri lain yang boleh buat kerja untuk rakyat. Kenapa perlu sampai ada tiga timbalan? Jadi ianya tak perlu,” tegas wanita berasal dari Gombak itu.
Untuk rekod, baru-baru ini Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga TPM dilaksanakan sekiranya ia menjadi sebahagian daripada manifesto BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara berkenaan turut disuarakan oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercadang melantik dua TPM sekiranya mereka menjadi kerajaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PRU15: Ahmad Zahid cadang tiga jawatan TPM dimasukkan dalam Manifesto BN