MRSM Musicfest 2022 akan berlangsung pada Sabtu ini.

KUALA LUMPUR – Alumni Anak Sains Mara (ANSARA) dan  Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)  buat julung kalinya bakal menganjurkan sebuah konsert berskala mega pada 29 Oktober ini.

Konsert dikenali sebagai MRSM Musicfest 2022 dijangka menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung dan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Menurut penerbitnya, Mohamad Fadzil Shari, pihaknya membuat perancangan mengadakan konsert tersebut sejak bulan April lalu  sempena meraikan ulang tahun ke-50 tahun penubuhan MRSM.

“Tahun ini genap 50 tahun MRSM yang pertama di Seremban yang memulakan pengajian pada 1972 dan kini berkembang kepada 54 buah termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sempena ulang tahun, kumpulan alumni yang dikenali sebagai ANSARA memutuskan untuk mengadakan pertemuan yang terbesar di kalangan bekas pelajar.

“Pertemuan tersebut kami iringi dengan konsert, aktiviti sampingan dan lebih menggembirakan selepas berbincang dengan pihak muafakat yang terdiri di kalangan ibu bapa dan para guru pelajar MRSM, kesepakatan telah dicapai untuk  menjayakan serentak sambutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Penerbit MRSM Musicfest 2022, Mohamad Fadzil Shari.

Mohamad Fadzil berkata, pihak ahli jawatan kuasa  tidak mengambil masa yang panjang merancang mengadakan muzik festival tersebut kerana mendapat sokongan padu di kalangan ahli walaupun  kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan  profesional, berkarier dan ahli akedemik.

“Festival ini akan mengabungkan persatuan  bekas pelajar, pelajar MRSM, Pelajar Kolej Profesional Mara dan Pelajar Kolej Mara di atas pentas yang sama namun  mempersembahkan kepelbagaian genre muzik.

“Menariknya walaupun tarikannya kepada acara pentas dan muzik namun sepanjang festival berlangsung pihak penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan untuk memeriahkan acara sepanjang hari yang bermula seawal 7 pagi.

“Kami mahukan hiburan yang terkawal untuk mengimbau nostalgia, keseronokan dan catatan suka-duka di zaman bergelar pelajar. Kepada Alumni MRSM sama ada menjadi ahli atau sebaliknya, ambillah peluang ini bertemu semula  dengan rakan-rakan lama untuk bertanya khabar dengan mengajak mereka mengadakan reunion pada tarikh dan lokasi yang sama,” katanya.

Lebih daripada itu ujar Mohamad Fadzil, MRSM Music Festival bukan hiburan semata-mata kerana  padat dengan pelbagai aktiviti yang akan berlangsung sejak awal pagi hingga ke malam.

“Seawal pukul 7 pagi, kami akan memulakan acara dengan aktiviti larian santai di sekitar Stadium Bukit Jalil dan Axiata Arena. Aktiviti larian santai ini terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada alumni serta pelajar MRSM sahaja.

“Pada masa sama, lebih 300 peniaga yang terdiri daripada alumni MRSM terlibat menjayakan ekspo jualan yang akan  menjual makanan, minuman, pakaian dan barangan lain,”  katanya.

Latihan sedang giat dijalankan oleh ANSARA bagi memastikan konsert Sabtu ini berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penolong Pengarah MRSM Kolej Mara & Kolej Profesional Mara Got Talent, Sazlina Soyat berkata, Festival yang julung kali diadakan itu akan menampilkan  pelbagai pertandingan pentas yang pesertanya di kalangan pelajar MSRM dan Kolej Mara.

“Kami memperkenalkan pertandingan MRSM Got Talent dan mendapat sambutan hebat di kalangan pelajar. Lebih 200 penyertaan diterima dari seluruh negara. Uji bakat Got Talent ini melibatkan tiga kategori iaitu nyanyian, tarian dan persembahan  alat muzik dan sebanyak 31 penyertaan akan berentap ke peringkat akhir pada hari tersebut.

“Persembahan akan bermula pada pukul 10 pagi dan sangat digalakkan ibu bapa, keluarga, rakan-rakan datang beramai-ramai menyokong penglibatan pada peserta  di samping menyokong aktiviti sampingan yang diadakan.

“Pemenang pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000 dan  para peserta diadili oleh artis jemputan berpengalaman,” katanya.

Sazlina menambah, selepas persembahan pelajar MRSM pada sebelah petang sehingga malam adalah acara kemuncak.

Sebuah konsert istimewa melibatkan barisan alumni MRSM akan memainkan lebih 20 buah lagu dan istimewanya beberapa alumni yang bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat gergasi telah bersetuju turut  membuat persembahan.

“Penyertaan nama-nama CEO ini sangat mengujakan kerana bukan senang hendak mendengar mereka menyanyi secara langsung. Kesempatan itu kami mengalu-alukan kehadiran pengunjung dan ia terbuka kepada umum.

“Sebelum  melabuhkan tirai, para penonton berpeluang menyaksikan persembahan sketsa muzikal oleh warga MRSM dari seluruh negara,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan, kata Sazlina, setakat ini 90 peratus  sudah siap dan menunggu masa untuk latihan akhir dan latihan sedang rancak diadakan.

“Apa yang menggembirakan , lebih 70 peratus daripada 5,000 tiket yang disasarkan sudah pun habis terjual sejak dilancarkan pada penghujung September lalu.

“Sekiranya mendapat sambutan menggalakkan terutama dari segi tajaan, kami merancangan untuk menjadikan festival seumpama ini  sebagai acara tahunan atau dwitahunan pada masa akan datang,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket konsert MRSM Musik Festival boleh melayari laman web www.myansara.org atau www.ticket2u.com.my atau  secara walk in pada 29 Oktober ini.

Tiket dijual pada harga RM60 bagi mereka berumur 18 tahun ke atas, RM30 (10 hingga 17 tahun) dan masuk percuma bagi kanak-kanak di bawah 10 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast