KUANTAN – Pihak pemaju atau individu yang terlibat dalam industri pembinaan akan disyaratkan mempunyai permit sisa lengai bagi pelupusan sisa binaan tidak lama lagi.
Menurut Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin, ia adalah satu inisiatif hijau yang akan memberi kesan baik ke arah melestarikan ibu negeri Pahang.
“Kita tahu sebelum ini banyak sisa-sisa bahan binaan dibuang secara haram. Ini menyebabkan gangguan kepada masyarakat dan alam sekitar” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi lawatan tapak selepas merasmikan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai (Pelupusan Sisa Binaan dan Perobohan) di Sungai Karang di sini hari ini.
Jelas Hamdan, tapak pelupusan sisa binaan dan perobohan yang pertama di negeri ini dibina di kawasan tapak berkeluasan keseluruhan sembilan ekar milik Alam Flora Sdn Bhd.
Perkhidmatan pelupusan itu, katanya, hanya akan mengenakan bayaran sebanyak RM16 per tan kepada penggunanya.
Hasil daripada sisa yang telah dilupus di fasiliti berkenaan dan akan dikitar semula seterusnya akan digunakan dalam industri pembinaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tapak itu juga boleh dijadikan tapak pembangunan perniagaan atau kawasan beriadah pada masa hadapan.
“Saya yakin akhirnya seluruh kawasan tapak ini nanti akan diusahakan sebagai satu kawasan rekreasi dan suatu kawasan pelancongan,” ujarnya.
Hamdan juga yakin dengan pembinaan fasiliti itu, Kuantan bakal menerajui pembinaan fasiliti pelupusan sisa binaan dan perobohan di kawasan jajaran Pantai Timur.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), beliau berkata, pihaknya telah membuat persediaan awal dengan pelbagai agensi terlibat seperti Alam Flora, SWCorp Pahang dan syarikat konsesi yang lain.
“Berkenaan dengan saliran dan sungai, kita telah mengambil perhatian awal di peringkat dearah untuk langkah-langkah pencegahan,” katanya.
Tambah beliau, persediaan bagi pengurusan sisa banjir juga telah diteliti lebih awal.
“Terdapat lebih 25 tapak pengumpulan sementara (transit) diwujudkan di kawasan berhampiran perumahan seluruh Pahang untuk mengurus sisa banjir sebelum dihantar ke Jabor,” ulasnya.-MalaysiaGazette