BATU PAHAT – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang merangkumi tenaga pengajar di institusi awam dan orang awam yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat termasuklah daripada sijil sehingga ke ijazah lanjutan.
Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, bagi pegawai yang sedang berkhidmat seperti tenaga pengajar di Universiti Awam (UA), politeknik dan kolej komuniti serta pegawaibukan akademik di UA, KPT menyediakan Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub-Kepakaran, Pasca Kedoktoran dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
Menurut beliau, untuk orang awam yang berkelayakan pula, pihaknya menawarkan program seperti MyBrain Science (MyBrainSc), Biasiswa Atlet Cemerlang Institut Pengajian Tinggi (IPT), Tokoh Siswa dan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik.
“Bagi mereka yang datang dari keluarga B40, KPT turut menawarkan Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK).
“Untuk golongan OKU pula, kita ada Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK).
“Dan yang terkini, Program Dermasiswa B40 TVET telah dilancarkan khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) Dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Universiti Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Noraini menambah, bagi menjayakan inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan secara bersasar itu setiap tahun, peruntukan kewangan yang besar disediakan oleh erajaan kepada KPT.
Menurut beliau, pada tahun 2022 sahaja, sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan untuk tujuan penajaan pendidikan kepada seramai 30,314 pelajar.
“Jadi, majlis pada hari ini juga akan turut menyaksikan penyerahan surat tawaran program-program penajaan KPT kepada para pelajar yang berjaya terpilih.
“Saya berharap ini juga akan memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk lebih berjaya dalam pengajian,” katanya. – MalaysiaGazette