Sekumpulan rakyat Johor yang mendakwa terkandas di Kemboja kerana ditipu sindiket pekerjaan meminta bantuan kerajaan negeri untuk membantu mereka untuk kembali ke tanah air.

JOHOR BAHRU – Sekumpulan tujuh individu yang mendakwa berasal dari Johor meminta bantuan dari kerajaan negeri supaya membantu mereka yang dianiayai sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.

Menerusi video tular yang dikongsi melalui laman Tiktok @ihishamuddinhashim, ketujuh-tujuh mereka dikatakan telah terkandas di negara itu dan dipaksa bekerja oleh sindiket berkenaan.

Menurut salah seorang individu dalam video tersebut, sekiranya mereka enggan mengikut arahan, mereka perlu membayar ganti rugi.

“Jika kami tidak bekerja kami perlu membayar RM15,000 untuk pulang ke Malaysia namun nasib baik kami telah diselamatkan oleh pihak MHO (Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia) iaitu Azirul Syafiq yang telah pun membawa kami keluar daripada tempat kami kerja,” jelasnya.

Lelaki berkenaan turut merayu kerajaan negeri Johor untuk membantu mereka dibawa pulang ke tanah air.

“Kami juga tiada duit dan kami tiada apa-apa kerana ketika kami lari kami tidak membawa dokumen barang dan wang, jadi kami merayu kerajaan Johor agar dapat membantu kami pulang ke tanah air,” katanya lagi.

Di dalam video tersebut juga diletakkan gambar Menteri Besar Johor supaya masalah mereka mendapat perhatian sewajarnya dari Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebelum ini, isu  jenayah rentas sempadan termasuk sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja telah dibincangkan pada Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-16 pada September lalu.

Kementerian Dalam Negeri menerusi kenyataan akhbar pula berkata, mesyuarat yang berlangsung secara dalam talian itu turut disertai 10 negara ASEAN, negara rakan dialog ASEAN serta Sekretariat ASEAN.

Menurutnya, pada sesi mesyuarat itu, Ketua Delegasi Kemboja, Samdech Kralahom Sar Kheng yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja memberikan maklum balas positif mengenai isu berkenan. – MalaysiaGazette