Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini akan menentukan nasib penyandang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana RM1 juta dan pengubahan wang haram, Jumaat ini.

Pendakwaan menutup kes pada 27 September lalu selepas mengemukakan keterangan 30 saksi termasuk bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq.

Untuk makluman, sebelum ini wang RM1 juta yang dinyatakan dalam pertuduhan pecah amanah terhadap Syed Saddiq merupakan nilai terbesar yang pernah dikeluarkan daripada akaun milik Armada.

Wang tersebut dikeluarkan pada 6 Mac 2020 atas arahan tertuduh yang mahukan ia dilupuskan selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung kehilangan wang RM250,000 daripada peti besi di rumahnya.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta bernilai RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan  hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. -MalaysiaGazette