Ahmad Jazlan Yaakub

MENANG atau kalah UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan terletak sepenuhnya atas bahu Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau diberi tanggungjawab mengurus tadbir UMNO, BN Kelantan sejak 2018 selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mengambil alih daripada pengerusi sebelumnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa tidak lagi bersama UMNO kerana telah lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi meneruskan kesinambungannya dalam politik..

Lalu pucuk pimpinan memilih Ahmad Jazlan mengetuai UMNO Kelantan, dan pemilihan bukan bukan dibuat secara tergesa-gesa atau terdesak kerana anak kepada mantan Ketua UMNO Bahagian Machang ini bukan calang-calang orang.

Beliau terlibat dalam politik bermula 1997 sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Negeri dan dilantik Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan pada 2014.

Pendek kata, Ahmad Jazlan banyak pengalaman dalam politik UMNO Kelantan dan juga dalam kerajaan apabila dilantik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2015 hingga 2018.

Bukan itu saja, Ketua UMNO Bahagian Machang ini juga pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Beliau berjiwa muda dan tidak mustahil akan memilih calon-calon muda serta muka baharu untuk diletakkan di 14 kerusi Parlimen di Kelantan, termasuk di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri tahun depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dilantik ini juga mempunyai strategi dalam menyusun atur gerak kerja politik di negeri Serambi Mekah kerana beliau pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Walaupun tidak diketahui siapa antara nama calon yang telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan awal Oktober lalu, ramai penganalisis yakin dan percaya, setiap nama yang dicadangkan itu adalah yang boleh menang.

Situasi hari ini sudah jauh berbeza dengan sebelum ini, yang mana sejak UMNO, BN Kelantan kalah tahun 1990, parti itu diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, sebelum diserahkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Namun, dua nama besar ini juga tidak menjamin UMNO, BN Kelantan menang. Sehinggalah pucuk pimpinan memilih Mustafa, kemudian ditukar kepada Tan Sri Annuar Musa dan Mustafa sekali lagi mengepalai parti itu.

Ternyata, walaupun diletakkan nama-nama besar itu pun, UMNO, BN Kelantan tetap kalah kepada Pas.

Rakyat Kelantan antara yang paling unik. Sekali mereka marah kepada UMNO, BN dan tidak kira siapa yang dilantik sebagai pengerusi pun, sampai bila-bila mereka tolak.

Tetapi, ramalan kuat mengatakan Ahmad Jazlan akan menamatkan kemarau kekalahan dan akan memberikan kemenangan kali ini. Dia dikatakan mempunyai aura berlainan daripada pengerusi sebelumnya.

Apakah aura itu? Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang ini lebih dekat dengan anak-anak muda, selain meletakkan yang lama atau veteran duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Itulah antara kelebihan pemimpin berusia 58 tahun ini, dan diganding pula dengan Timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, 65, iaitu cicit kepada seorang ulamak tersohor.

Dalam PRU8 tahun 1990, UMNO kalah semua 14 kerusi selepas Pas bergabung dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang diketuai Tengku Razaleigh atau Ku Li.

PRU9 tahun 1995, UMNO, BN dapat merampas dua dari 14 kerusi Parlimen, PRU10 tahun 1999, UMNO hanya mampu menang satu kerusi iaitu Gua Musang yang dimenangi Ku Li selepas kembali semula menyertai UMNO.

Kekalahan tahun itu menyaksikan Pas bergabung dengan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas terbubarnya APU berikutan tindakan Ku Li menyertai semula UMNO.

UMNO, BN Kelantan kembali mengganas pada PRU11 tahun 2004 dengan memenangi sembilan daripada 14 kerusi yang dipertandingkan, namun PRU12 tahun 2008, UMNO gagal mempertahankan sembilan kerusi yang dimenangi apabila hanya dua sahaja gagal digugat oleh Pas iaitu Gua Musang (Ku Li) dan Jeli, Mustapa Mohamed.

PRU13 tahun 2013, UMNO, BN menang lima kerusi Parlimen dan PRU14 tahun 2018, juga kekal lima kerusi.

Oleh itu, tidak mustahil sejarah PRU11 tahun 2004 akan berulang kembali di Kelantan bawah pimpinan Ahmad Jazlan.

Ini berdasarkan kepada kenyataan mantan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa ahli Pas di akar umbi tidak gembira kerjasama parti mereka dengan Perikatan Nasional (PN), sebalik lebih gembira sekiranya Pas bersama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ketidakgembiraan ahli Pas di peringkat bawahan ini yang menjadi kemungkinan akan berlaku perubahan di Kelantan, apabila dikatakan akan menterjemahkan undi mereka kepada UMNO, BN, bukan Pas-PN atau Bersatu-PN. – MalaysiaGazette