PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menanafikan bahawa wujud perbincangan antara PN dengan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, sehingga kini tiada perbincangan rasmi berlangsung antara kedua-dua gabungan parti politik itu.
“Saya tidak tahu di mana ada rundingan kalau ada tidak sampai ke peringkat tertinggi pun, kalau ada peringkat bawah bagi saya tidak penting yang penting peringkat parti setakat ini tidak ada perbincangan rasmi dibuat mungkin ada hasrat tapi kita akan teruskan atas dasar PN sahaja,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan di antara parti dalam PN.
Terdahulu, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan rundingan antara parti itu dengan PN masih berjalan.
Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan tersebut tidak melibatkan Muhyiddin.
Bekas Perdana menteri itu memberi tempoh dua hari kepada PN untuk memuktamadkan sama ada mahu kerjasama dengan GTA.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN akan menghadapi PRU-15 menerusi parti-parti yang dalam dalam gabungan itu sahaja.
“Kita sudah putuskan PN yang sedia ada kita teruskan atas inisiatif sedia ada antara PN.
“Bukan tidak mahu bekerjasama dengan GTA tapi kita putuskan kita akan teruskan apa yang kita susun sejak awal masing-masing akan teruskan atas agenda PN,” tambah beliau. -MalaysiaGazette