MELAKA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut bunuh anaknya dan mencederakan isteri serta dua anak yang lain, 17 Oktober lalu.
Tertuduh, Rony Abraham, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja lima pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nafizah Mohd Salleh, 38, dengan cara memukul dengan tangan pada pipi kiri dan seluruh badan mangsa.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap tiga anaknya berusia 10, 12 dan 13 tahun dengan cara menumbuk, menendang serta menampar mereka.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa telah membuat ugutan jenayah dengan meletakkan parang di pipi kiri dan kanan anaknya berusia 12 tahun dengan berkata kepada isteri “kau nak anak kau hidup ke mati”.
Kesalahan yang mana ugutan dibuat adalah untuk menyebabkan kematian didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Semua kesalahan itu dilakukan pada jam 11 pagi di sebuah rumah di Bukit Tempayan, Tanjung Kling, dalam daerah Melaka Tengah, 17 Oktober lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 24 November depan sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, atas pertuduhan mencucuh puntung rokok pada lengan dan tepi mata isterinya.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana daripada hukuman tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri pada prosiding itu memohon tertuduh dihantar ke pusat rawatan psikatri untuk pemeriksaan susulan perbuatan didakwa dilakukan dalam keadaan tidak sedar.
Mahkamah kemudian membenarkan pemeriksaan di Hospital Permai, Johor mengikut Seksyen 342 Subseksyen 3 Kanun Tatacara Jenayah. – MalaysiaGazette