NGO melakukan penipuan dengan menawarkan kad kuasa melepasi road block dan tawran istimewa dengan baju, topi dan emblen kenderaan berlogo PDRM, KDN dan AADK akhirnya ditumpaskan polis.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu yang disyaki memperdayakan mangsa dengan menawarkan pelekat kenderaan, emblem kenderaan serta baju pertubuhan bagi melepasi sekatan jalan raya (SJR) dengan menjadi ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tentang penipuan itu pada 20 Oktober lalu.

“Dalam laporan itu, mangsa seorang peniaga perkakasan menyatakan bahawa dia telah ditipu oleh dua orang suspek warga tempatan dari sebuah pertubuhan NGO untuk menjadi ahli Biro Cegah Jenayah Malaysia.

“Pengadu diperdaya untuk menjual meja makan bagi satu majlis makan malam perdana yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober 2022 di sebuah hotel di Selayang,” katanya pada sidang media, hari ini.

NGO melakukan penipuan dengan menawarkan kad kuasa melepasi road block dan tawran istimewa dengan baju, topi dan emblen kenderaan berlogo PDRM, KDN dan AADK akhirnya ditumpaskan polis.

Menurut Eng Lai, siasatan mendapati pengadu telah dipelawa untuk menjadi ahli pertubuhan itu oleh kedua-dua suspek untuk menjadi Ahli Kehormat Biro Cegah Jenayah Malaysia dengan tawaran menarik dengan bayaran yuran keahlian sebanyak RM2,200.

Tambah beliau, setiap ahli baharu akan memperolehi sehelai baju kemeja T, topi, sekeping pelekat kenderaan, dua keping emblem kenderaan dan sekeping kad keahlian yang mempunyai logo Polis Diraja malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Pengadu telah ditawarkan untuk menjual sebanyak 30 buah meja makan untuk majlis makan malam perdana yang mana harga sebuah meja ditetapkan antara RM2,000 hingga RM5,000 namun majlis itu tidak dapat dijalankan seperti dirancang oleh suspek dan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM17,000 atas tempahan meja tersebut.

“Bertindak atas laporan pengadu itu, antara 23 hingga 25 Oktober lalu sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul berjaya memberkas lima individu lelaki tempatan berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun yang disyaki terlibat dan membantu siasatan kes tersebut di beberapa lokasi di Lembah Klang,” kata beliau.

Eng Lai berkata, serbuan ke atas beberapa kediaman dan perniagaan perniagaan membawa kepada rampasan 19 helai baju T, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem kenderaan, tiga keping kad kuasa Biro Komuniti Cegah Jenayah, lima keping kad keahlian Kehormat Biro Komuniti Cegah Jenayah dan empat keping acuan cetakan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdayakan pengadu sehingga mengakibatkan kerugian, Seksyen 89(b) Akta Polis 1967 kerana menjual dan membekal tanda atau lencana anggota pasukan polis dan Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 kerana memiliki lambang atau lencana tanpa kelulusan pendaftar.

“Semakan rekod jenayah mendapati salah seorang suspek iaitu dalang utama berusia 57 tahun itu mempunyai satu kesalahan jenayah lampau menyamar sebagai penjawat awam (polis),” ujarnya.

Eng Lai berkata, dua individu, termasuk dalang, direman sehingga semalam dan hari ini sebelum dibebaskan dengan jaminan polis manakala tiga suspek akan menjadi saksi pendakwaan di mahkamah.

Tambah beliau, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette