Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dilihat semakin angkuh apabila memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan laporan pasukan petugas khas berhubung memoirnya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini bukan kali pertama Tommy bertindak sedemikian, bahkan beliau mengulangi keingkaran itu selepas memboikot Pasukan Petugas Khas sebelum ini.

“Angkuh betul Tommy Thomas. Dia merasakan dirinya kebal. Sebelum itu Majlis Peguam juga mempersoalkan kesaksamaan laporan Pasukan Petugas Khas itu.

“Peliknya baru sekarang Majlis Peguam menuntut kerajaan tubuh RCI untuk siasat. Kenapa tidak tuntut dari awal lagi. Majlis Peguam mahu menegakkan benang basah.

“Bahkan Tommy Thomas dan Majlis Peguam memboikot sesi soal siasat Pasukan Petugas Khas. Mereka enggan hadir,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Tommy memfailkan saman pemula terhadap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat siasatan pelbagai dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Beliau menamakan pengerusi dan ahli Pasukan Petugas Khas terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Tommy melalui saman pemulanya menyatakan Pasukan Khas tersebut telah ditubuhkan secara salah, sekaligus menjadikan laporan siasatan terhadap buku tulisannya adalah tidak sah dan terbatal.

Antara relif yang dimohon adalah perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas dan ahlinya adalah badan tidak sah, tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Puad juga menggesa Pejabat Peguam Negara tidak berlengah lagi dan perlu menyegerakan pendakwaan terhadap Tommy dalam masa terdekat.

“Tommy Thomas dan Majlis Peguam adalah agen pihak lawan. Tommy Thomas mesti didakwa segera.

“Tommy Thomas akan selamat jika PH menang PRU 15. Jangan percaya lagi pada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – MalaysiaGazette