KERUSI Parlimen Tasek Gelugor terus menjadi perhatian ramai dalam kalangan pemerhati politik tempatan di mana nama Wan Saiful Wan Jan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili calon Perikatan Nasional (PN) dan Nik Abd Razak Nik Md Ridzuan dari Amanah sebagai calon Pakatan Harapan (PH) disebut-sebut bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Wan Saiful ialah Ketua Penerangan Bersatu manakala Nik Abd Razak ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah.
Kedua-dua calon dari PN dan PH itu dilihat sebagai taruhan terbaik bagi memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor.
Jika benarlah mereka berdua adalah calon di P042 Tasek Gelugor, maka peluang Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi BN pada asalnya sebelum penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya melompat ke Bersatu adalah sangat besar.
Keyakinan itu disuarakan dalam muatnaik Facebook rasmi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin yang berpandangan, calon seperti Wan Saiful dan Nik Abd Razak atau lain-lain yang tidak sinonim dengan kehendak anak Tasek Gelugor.
Ia dakwanya seperti membuka butik Prada di Lahaq Yooi (Lahar Yooi) kerana only devil wears Prada.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang turut membayangkan betapa bakal calon PN dan PH itu berdepan dengan kesukaran bagi memenangi kerusi Tasek Gelugor berdasarkan kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sedia ada telah berakar umbi sekian lama.
Ini berdasarkan BN telah memenangi kerusi berkenaan pada waktu tsunami politik walaupun majoritinya amat tipis.
BN juga ketika itu telah memenangi dua dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tasek Gelugor iaitu DUN Sungai Dua dengan majoriti 1,934 dan DUN Permatang Berangan dengan majoriti 646.
Hanya dua kerusi DUN dimenangi BN pada PRU14 dari jumlah 40 kerusi DUN di Pulau Pinang dan kedua-duanya di Parlimen Tasek Gelugor.
Baki kesemua 38 kerusi DUN kalah termasuk di kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang.
Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor – ADUN Sungai Dua dan Nor Hafizah Othman – ADUN Permatang Berangan juga adalah pemimpin UMNO tempatan yang memenangi kerusi DUN dalam keadaan tsunami politik pada PRU14 lalu.
Muhamad Yussof menewaskan calon PKR, Yusri Isahak dan Cikgu Hadi dari Pas dengan jumlah 7,314 undi manakala Nor Hafizah menewaskan Datuk Seri Mohd Shariff Omar dari PKR, Pakcik Sobri dari Pas dan Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia dengan jumlah 6,870 undi.
Pemerhati politik turut mengenal pasti anak tempatan Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim disebut-sebut bakal calon terbaik BN untuk diletakkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.
Reputasi dan nama besar Norliza pastinya membawa harapan pengundi di mana beliau juga adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia serta Ketua Wanita BN dan UMNO Negeri Pulau Pinang.
Bak kata Dr Shaik, beliau amat pasti jentera BN Tasek Gelugor akan bergerak sederap memastikan kemenangan Parlimen Tasek Gelugor.
Pada PRU-14 lalu di Parlimen Tasek Gelugor, BN ketika itu dimenangi Shabudin sebanyak 18,547 undi dengan majoriti 81 undi menewaskan Marzuki Yahya dari PKR yang memperolehi 18,466 undi dan Rizal Hafiz Ruslan dari Pas yang memperoleh sebanyak 14,891 undi.- MalaysiaGazette
Ahmad Fauzi Mustafa
Penganalisis Sosio Ekonomi & Politik di Pusat Penyelidikan Strategik, sebuah kumpulan pemikir dan penyelidikan.