PEKAN – Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kontraktor untuk menyiapkan 12 buah rumah kepada mangsa banjir sebelum tibanya kemuncak fasa Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.
Seri Paduka mahu usaha menyiapkan dipercepatkan meskipun musim hujan sudah bermula supaya penerima sempat berpindah sebelum berlakunya banjir sekali lagi.
“Saya berharap kontraktor dapat menyiapkan rumah walaiupun dalam hujan dan mempercepatkan pembinaan walaupun kena bekerja ketika hujan.
“Tolonglah kerja walaupun ketika hujan supaya mereka semua dapat berpindah sebelum banjir,” titah Agong.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Pelancaran Projek Perumahan, dan Penyampaian Watikah Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Sumbangan Pertubuhan Palang Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini hari ini.
Hadir mengiring baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Duta Besar UAE, Khalid Ghanim Alghaith.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan menguniakan sumbangan daripada Persatuan Pahang Pahang Merah UAE kepada 12 penerima rumah banjir Pusat Pemindahan Sementara Kampung Temai Hulu, Pekan hari ini.
Dalam pada itu, Seri Paduka juga mengingatkan kepada penerima supaya menjaga rumah yang diterima dan akur kepada moratorium yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Moratarium yang ditetapkan selama 10 tahun bagi mengelak penjualan rumah dan perlu mendapatkan kebenaran serta kelulusan Pegawai Daerah bagi sebarang penjualan atau penukaran hak milik.
Di samping itu, baginda mengharapkan agar pihak penerima agar terus bersyukur dan menjaga rumah tersebut sehingga generasi akan datang.
“Jagalah rumah yang diberikan sampai ke anak cucu kerana bukan mudah untuk mendapat rumah sendiri daripada dua Kerajaan (negara). Semoga semua terus bersyukur, bersyukur dan bersyukur lagi,” titah Agong.
Untuk rekod, sebanyak 123 rumah dibina kepada mangsa banjir di Pahang dengan sumbangan RM12.175 juta dari UAE.
Manakala RM42 juta lagi diperuntuk oleh UAE bagi pembinaan rumah orang miskin bagi Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah. -MalaysiaGazette